SEREMBAN – Pengumuman Perdana Menteri berkaitan fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula 1 April 2022 nyata memberi kegembiraan kepada rakyat Malaysia. Apatah lagi, pengumuman tersebut turut ‘dihadirkan’ sekali dengan beberapa kelonggaran khusus untuk kita semua termasuklah umat Islam yang kini dibenar merapatkan saf ketika solat berjemaah dan solat Jumaat.
Susulan daripada itu, beberapa negeri kemudian mengambil ketetapan yang sama untuk membenarkan para jemaah melaksanakan solat berjemaah tanpa penjarakan sosial, antaranya adalah Selangor dan Negeri Sembilan. Genap 1 April, bermula daripada solat Subuh tadi, orang ramai dirakam mengambil peluang untuk memenuhi ruangan solat di masjid dan surau di negeri-negeri yang memberikan kelonggaran tersebut.
Menerusi perkongsian ringkas daripada Bernama, orang ramai yang hadir menunaikan solat subuh berjemaah di masjid Bandar Baharu Senawang kembali merapatkan saf sejadah selepas kerajaan membenarkan berbuat demikian di seluruh negara bermula hari ini.
Kerajaan negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang.
Susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu, solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara telah ditangguhkan dan kemudian ditetapkan penjarakan fizikal bermula Mac 2020 hinggalah semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa aktiviti keagamaan tidak lagi perlu melaksanakan penjarakan fizikal termasuk solat berjemaah di masjid atau surau bermula 1 April.
Jelasnya, ia merupakan salah satu daripada perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun ketika itu, beliau memaklumkan bahawa ketetapan berkenaan bergantung kepada keputusan Majlis Agama negeri masing-masing memandangkan hal ehwal agama Islam terletak dibawah bidang kuasa Negeri.
Menerusi perkongsian dari laman Facebook JAKIM, rata-rata orang awam turut berkongsi kemeriahan suasana di masjid mereka dengan kehadiran orang ramai menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
Antara masjid yang dikongsikan adalah di Masjid Jamek Al Rahimah Kuala Kubu Bharu, Surau Al Furqan, Bandar Tasik Puteri, Surau Jumaat Ar-Rahmah Cempaka Puri Nilai dan banyak lagi negeri lain seperti di Perak dan Perlis.
Sumber: Bernama