JOHOR BAHRU – Sebak dan teruja. Begitulah perasaan rata-rata rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selama 2 tahun yang akhirnya dapat kembali pulang ke tanah air sendiri bermula tengah malam tadi. Pelbagai ragam dan detik indah berjaya dirakam lensa kamera yang menjadi viral di media sosial.
Senyum indah, tumpahnya air mata kegembiraan dan pelukan erat antara dua insan yang terpisah sekian lama sudah cukup menggambarkan betapa mereka ini begitu meraikan kelonggaran yang diberi. Menerusi perkongsian ringkas Bernama, pasangan ini teruja dapat pulang ke tanah air selepas pembukaan Tambak Johor yang pernah disifatkan sebagai laluan darat tersibuk di dunia tepat jam 12 tengah malam tadi.
Paling teruja, pasangan ini membuka lagu raya berjudul ‘Balik Kampung’ untuk memeriahkan suasana mengadap kesesakan jalan raya untuk masuk ke Malaysia.
“Pasangan suami isteri memasang lagu ‘Balik Kampung’ di dalam kereta sementara meredah kesesakan memasuki Tambak Johor,” tulis Bernama ringkas.
Difahamkan, suasana di sekitar bandaraya Johor Bahru turut meriah, dengan orang ramai berkumpul bagi menunggu ketibaan ahli keluarga mereka dari Singapura dan ada juga yang hadir untuk merasai detik bersejarah itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut sebak dan terharu selepas menonton video ini kerana mereka turut merasai kegembiraan dapat pulang ke kampung berjumpa ahli keluarga tercinta.
Pasangan suami isteri memasang lagu 'Balik Kampung' di dalam kereta sementara meredah kesesakan memasuki Tambak Johor.
📹Orang awam pic.twitter.com/S1q3nw6pNW
— BERNAMA (@bernamadotcom) March 31, 2022
Sumber: Bernama via orang awam