Malaysia bakal memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19 mulai 1 April 2022 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu setelah lebih dua tahun melalui fasa pandemik.
Berikutan fasa baharu ini, SOP terkini telah pun diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan akan berkuatkuasa mulai esok.
Hanya satu SOP ditetapkan sepanjang fasa peralihan ke endemik dan dijangka akan memudahkan rakyat Malaysia berbanding 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelumnya.
SOP yang dilaksanakan di bawah Akta 342 ini merangkumi 10 keperluan yang kebanyakannya sudah biasa diamalkan dan menjadi sebahagian dari norma rakyat Malaysia sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Antara keperluan dalam SOP berkenaan adalah memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, menjaga kebersihan tangan serta memastikan penjarakan fizikal satu meter.
Di samping itu, individu perlu menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.
Dalam fasa ini, premis perlu memastikan kebersihan premis, pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik serta mematuhi waktu operasi mengikut lesen atau permit.
Had waktu operasi dimansuhkan, solat tanpa penjarakan di sembilan negeri
Bermula esok, had waktu operasi perniagaan dimansuhkan, di mana pemilik premis boleh beroperasi mengikut waktu operasi sedia kala.
Premis yang menetapkan waktu operasi 24 jam seperti sesetengah restoran dan kedai serbaneka kini boleh beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan sebelumnya.
Aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara di rumah ibadat selain agama Islam juga kini boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di beberapa negeri.
Sebanyak sembilan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Terengganu, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Selangor dan Melaka, mengumumkan pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April.
Pembukaan sempadan negara
Ekoran fasa peralihan ke endemik, sempadan negara juga akan dibuka semula bermula 1 April setelah mengenakan sekatan keluar masuk sejak Mac 2020.
Malaysia akan mula menerima semua pelancong dan pengembara yang mempunyai dokumen lengkap tanpa perlu memohon MyTravel Pass.
Sembilan garis panduan tidak akan dikuatkuasakan
Bagi menangani wabak COVID-19, ujian pengesanan perlu dilakukan berdasarkan National Testing Strategy serta menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain satu SOP yang berkuatkuasa esok, sembilan garis panduan turut disenaraikan sebagai panduan dalam melakukan aktiviti-aktiviti tertentu semasa fasa peralihan ke endemik.
Walaupun garis panduan ini tidak akan dikuatkuasakan, namun rakyat Malaysia sangat digalakkan untuk mematuhinya sebagai langkah mengekang penularan. Senarai sembilan garis panduan boleh dirujuk di pautan ini.
Sumber: Portal COVID-19 KKM, Bernama