Siakap Keli
Profesor Roshana

Profesor Roshana Direhatkan Dari Tugas – UITM

Profesor Dr. Roshana Takim dilapor telah direhatkan daripada tugas pengajaran bermula 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam satu kenyataan Jabatan Komunikasi UiTM memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang telah diadakan pada 31 Mac lalu.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak universiti juga memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.

Katanya, UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran(posting) yang mengelirukan.

“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan pelajarnya. Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan.

Dokumen siasatan bocor

Menerusi laporan Bernama, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan insiden pensyarah kontraknya yang menjadi tular hingga menjadi perdebatan dalam kalangan netizen, dilapor tersebar.

Susulan itu, pihak UiTM semalam telah membuat laporan polis berhubung insiden kebocoran dokumen yang dianggap sulit itu.

Sumber: Uitm Official

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.