Siakap Keli
dua beradik hilang hampir sebulan di amazon
Gambar via Oddity Central

Dua Beradik Hilang Hampir Sebulan Di Hutan Amazon Ditemui Lemah

Dua beradik berumur enam dan lapan tahun yang pernah hilang dan berikhtiar hidup selama hampir sebulan secara bersendirian di hutan Amazon, Brazil ditemui selamat baru-baru ini.

Mengimbas kembali, pada 18 Februari lalu, Glauco dan adiknya, Gleison Ferreira meninggalkan rumah mereka berhampiran Manicoré, Amazonas.

Menurut Oddity Central, mereka berdua dikatakan pergi ke dalam hutan untuk menangkap dan memburu burung kecil, namun malangnya langsung tidak pulang selepas itu.

Kehilangan mereka membuatkan hampir 260 orang kampung dan pasukan penyelamat profesional menjalankan misi mencari dan menyelamat selama seminggu berturut-turut.

Bagaimanapun difahamkan, cuaca hujan lebat yang berterusan di kawasan hutan menyukarkan lagi usaha pencarian dua beradik yang hilang itu.

Disebabkan keadaan semakin sukar, akhirnya misi mencari dan menyelamat tersebut terpaksa dihentikan pada 26 Februari berikutnya.

Namun walaupun telah dihentikan, penduduk tempatan terus berusaha mencari dua beradik itu di dalam hutan belantara tersebut.

Malah difahamkan, ahli keluarga mereka dikatakan langsung tidak pernah menganggap bahawa anak mereka telah meninggal dunia.

Gambar via Oddity Central

Ditemui selepas 27 hari

Namun selepas 27 hari, keluarga itu akhirnya mendapat khabar berita yang baik bahawa kedua-dua anak mereka sudah ditemui dan masih hidup.

Glauco dan Gleison ditemui seorang lelaki yang memotong kayu berhampiran perkampungan Palmeira di rizab tanah terlindung Lago Capanã,  35 kilometer dari tempat kali terakhir mereka dilihat.

Segalanya bermula apabila petani itu sedang membuka laluan hutan untuk ladang kacangnya. Ketika itulah dia terdengar suara seorang kanak-kanak lelaki sedang menangis, lalu bergegas ke arahnya.

Pada ketika itu, petani berkenaan tertanya-tanya bagaimana dua kanak-kanak tersebut yang merupakan orang asli Mura itu boleh melalui hutan belantara selama hampir sebulan.

Difahamkan, ketika ditemui, kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan dan dehidrasi yang teruk .

Selain itu, gara-gara meredah hutan hampir sebulan, kulit mereka dipenuhi kesan gigitan serangga, garis-garis calar dari dahan pokok serta lebam dan calar di kaki.

Sejurus kemudian, mereka terus diterbangkan ke Manuas oleh pihak penyelamat untuk bertemu semula dengan ibu bapa mereka.

Sementara itu, pakar kanak-kanak, Eugenio Tavares berkata, “Mereka kekurangan zat dan mempunyai beberapa jangkitan kulit, telinga dan belakang.

“Kekerapan bernafas adalah normal, mereka juga tidak mempunyai batuk, cuma yang membimbangkan adalah buah pinggang, namun dilaporkan juga buah pinggang mereka berfungsi dengan baik,” katanya kepada CNN Brazil.

Selain itu, beberapa sumber mendakwa kanak-kanak tersebut tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan sepanjang tempoh ‘survival’ getir itu.

Ada juga sumber mendakwa, kedua-dua mereka terselamat kerana meminum air hujan dan air sungai serta memakan buah liar yang dipanggil sorva.

“Abangnya tidak boleh berjalan lagi, jadi dia (adik) terpaksa pergi mengutip buah untuk dimakan,” kata seorang pekerja sosial yang ditugaskan untuk kes itu ke CNN.

AFP juga melaporkan bahawa abang yang lebih tua  membawa adiknya di belakang untuk seketika, tetapi abangnya sendiri tidak dapat berjalan lagi.

Namun mujurlah nasib mereka baik apabila terdengar bunyi pokok ditebang oleh petani tersebut tidak jauh dari situ sebelum menjerit meminta tolong.

Walaupun ini bukan kejadian kali pertama seseorang tersesat dan bertahan di hutan belantara selama berminggu-minggu, namun kisah Glauco dan Gleison menjadiliputan utama media antarabangsa kerana usia mereka yang masih muda.

Dikatakan sekiranya mereka mampu dan berjaya bertahan di hutan belantara yang menjadi habitat liar, selagi mereka hidup, ia dianggap sesuatu yang ajaib.

Sumber: OddityCentral

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.