KUALA LUMPUR – Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob berhubung anjakan negara memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April 2022, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini akan memproses semua tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19 sebagai Penyakit Khidmat.
Pelaksanaan ini dilihat sebagai tepat pada masanya tatkala aktiviti ekonomi di seluruh negara mula menunjukkan perkembangan yang positif dan semakin ramai rakyat sudah kembali bekerja. Ia juga selari dengan ‘exit strategy’ yang digagaskan oleh Kerajaan agar negara kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan COVID-19.
Penularan dan impak pandemik COVID-19 kepada negara merupakan sesuatu yang tidak dijangka. Pada masa yang sama, ia telah memangkin dan membawa ekosistem perlindungan sosial ke suatu tahap yang lebih tinggi dan meluas berbanding pra pandemik.
Prihatin dengan nasib segelintir Keluarga Malaysia yang terjejas akibat COVID-19, PERKESO telah mengambil tindakan proaktif sewaktu pandemik melanda negara dan memproses kes tuntutan melibatkan COVID-19 sebagai satu ‘Bencana Kerja’ dan bukannya satu Penyakit Khidmat sebagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sepatutnya.
PERKESO yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) adalah tertakluk kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Di bawah akta tersebut, Penyakit Khidmat merujuk kepada penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan dalam Jadual Kelima, Akta 4. Oleh kerana COVID-19 tersenarai sebagai penyakit yang dinyatakan dalam Jadual Kelima, ia boleh dipertimbangkan sebagai Penyakit Khidmat jika memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 28, Jadual Kelima, Bahagian VII Agen Biologi Bil 10. Antara penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat ini seperti jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus).
Ini bermakna, sekiranya Orang Berinsurans (OB) PERKESO ingin membuat tuntutan faedah bagi kes COVID-19, tuntutan tersebut masih layak dipertimbangkan, namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan. Permohonan tersebut akan diproses sebagai Penyakit Khidmat dan OB yang layak akan menerima faedah-faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Pencen Penakat, Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM), mengikut kelayakan masing-masing.
Bagaimanapun, bagi permohonan tuntutan faedah oleh OB yang disahkan positif COVID 19 sebelum 1 April 2022, PERKESO masih akan memproses tuntutan tersebut sebagai Bencana Kerja.
Sehingga 26 Mac 2022, PERKESO telah menerima sebanyak 132,988 kes tuntutan faedah COVID-19 yang merangkumi pekerja tempatan dan asing. Daripada jumlah tersebut, lebih RM133 juta telah dibayar kepada OB sejak pemberian faedah ini mula dilaksanakan pada 24 Februari 2021.
PERKESO komited untuk terus menambah baik jaringan perlindungan sosialnya bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, khususnya buat lebih 9 juta pencarumnya di seluruh negara, terjamin dan terpelihara.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi nombor Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].