Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, makin kerap kita dengar isu saman-menyaman yang disebabkan oleh fitnah dan sebagainya ‘berlegar’ di media sosial.
Namun, adakah semua perkara memalukan yang dilakukan oleh sesetengah pihak itu dikira sebagai fitnah dan dibenarkan saman-menyaman antara mereka?
Menjawab persoalan ini, seorang peguam hartanah, Syazwan Mohd Jafri ada berkongsi dan menjelaskan elemen penting sebelum anda mengambil tindakan menyaman (saman fitnah) seseorang.
Ikuti perkongsian beliau yang telah kami sertakan sebagai panduan sebelum anda saman seseorang yang memfitnah anda.
ADUHAI AKU DIFITNAH DI MEDIA SOSIAL.. NAK SAMAN LAH! (Ketahui Hak Anda)
Dunia media sosial dunia tanpa batasan. Namun isu yang makin menular, fitnah-memfitnah di media sosial. Anda atau orang terdekat telah difitnah, jadi apakah tindakan selanjutnya? Apakah cara mengenalpasti hak anda? Perkongsian singkat berkenaan saman fitnah pada hari ini.
APAKAH ITU “SAMAN FITNAH”? (ATAU BAHASA SERING DIGUNAKAN, “SAMAN MALU”)
Mudahnya, Saman fitnah adalah saman yang difailkan di mahkamah terhadap individu yang telah memfitnah anda. Manakala, dari segi undang-undang, tidak wujud istilah “saman malu”.
Bagi memahami perbezaannya pula, seseorang yang difitnah, sudah tentu telah dimalukan. Namun orang yang dimalukan, belum tentu dia telah difitnah.
TIGA ELEMEN PENTING SEBELUM MENGAMBIL TINDAKAN SAMAN FITNAH
Sebelum memulakan saman fitnah, pastikan 3 elemen ini dipenuhi. Yang pertama, kenyataan yang dibuat mestilah mempunyai unsur fitnah, kenyataan tersebut jelas merujuk atau boleh dikenal pasti ditujukan kepada anda. Terakhir, kenyataan tersebut telah disampaikan atau disebarkan kepada pihak ketiga (orang ramai).
TIGA ELEMEN DAH PENUHI, PATUT KE ANDA TERUSKAN SAMAN FITNAH?
Perlu difahamkan, Mahkamah dalam menentukan tuntutan saman fitnah anda, akan mengambil kira beberapa faktor antaranya reputasi anda, impak kepada reputasi, wujud atau tidak niat jahat dan sama da si pelaku ada meminta maaf atau tidak.
Pendek kata, sekalipun si pelaku membuat kenyataan fitnah, tapi lepas tu cepat-cepat padam dan minta maaf, dan reputasi anda tidak terjejas, mungkin tidak perlu pun untuk saman fitnah.
INFO TAMBAHAN
Saman fitnah perlu disertakan dengan bukti, jadi pastikan anda screenshot dan save segala bukti yang ada. Jumlah tuntutan boleh pergi dari puluhan ke ratusan ribu bergantung kepada penilaian Mahkamah.
KESIMPULAN
Isu fitnah memfitnah semakin menular di media sosial sehinggakan ada yang kehilangan punca rezeki, bergaduh sesama keluarga mahupun dikecam khalayak ramai. Perkongsian kali ini untuk memberi “awareness” tentang erti “Saman fitnah” yang acap kali muncul.
Terdahulu, seorang peguam, Hafidzah Hassan juga ada kongsikan bahawa tidak terdapat akta yang membolehkan seseorang individu untuk saman jika pertelingkahan berlaku hanya melalui WhatsApp.
“Tidak boleh saman antara satu sama lain kerana ia tiada sebarang penyebaran dari orang ketiga.
“Namun, ini hanya untuk yang berkaitan dengan saman fitnah sahaja, saman lain kita harus lihat balik fakta tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memuat naik satu lagi video bagi menjawab persoalan dari netizen yang berbunyi “Kalau nak saman kena umpan bawa orang lain dulu ke baru boleh?”
Beliau menjawab persoalan tersebut seperti berikut:
“Apabila satu penghinaan atau fitnah yang berlaku antara dua pihak sebagai contoh, kita dan seorang lagi individu yang lain.
“Kemudian kita screenshot dan kita sebarkan kepada public, dah tidak boleh saman,” jawabnya melalui video tersebut.
BACA JUGA: (Video) Boleh Ke Saman Jika Bergaduh Dalam ‘WhatsApp’? Ini Penjelasan Peguam
Sumber: Syazwan Mohd Jafri