Siakap Keli
senarai negara memiliki tempoh berpuasa paling pendek dan panjang
Gambar via National News

Senarai Negara Memiliki Tempoh Berpuasa Paling Pendek & Panjang

Setiap tahun, Ramadan biasanya dipercayai akan ‘berganjak’ awal dua minggu. Tahun ini kita menyaksikan Ramadan disambut pada bulan April dan lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia berpuasa selama sebulan.

Merujuk National News, bagi sesetengah tempat, anjakan bulan puasa juga akan menyebabkan beralihnya tempoh masa dari hari musim panas yang lebih panjang dan lebih panas menuju musim sejuk yang lebih pendek dan lebih sejuk.

Tetapi negara manakah yang akan mempunyai waktu siang paling panjang dan negara manakah yang akan mempunyai tempoh puasa paling singkat?

Puasa Ramadan terpendek pada tahun 2022

Menurut National News, antara negara yang puasanya lebih pendek pada tahun ini adalah New Zealand, Argentina dan Afrika Selatan yang berpuasa untuk tempoh paling singkat antara 11 dan 12 jam pada bulan ini.

Antara bandar / negara lain termasuklah Johannesburg, South Africa (11 hingga 12 jam), Buenos Aires, Argentina (11 hingga 12 jam), Cape Town, South Africa (11 hingga 12 jam), Christchurch, New Zealand (11 hingga 12 jam), Ciudad del Este, Paraguay (11 hingga 12 jam), Montevideo, Uruguay (11 hingga 12 jam), Brasilia, Brazil (12 hingga 13 jam) dan Harare, Zimbabwe (12 hingga 13 jam)

Puasa Ramadan paling lama pada tahun 2022

Manakala negara-negara yang puasanya lebih lama berbanding negara-negara lain termasuklah umat ​​Islam di bandar Reykjavík, Iceland, akan mempunyai rekod tahun ini dengan waktu puasa paling lama. Mereka dijangka berpuasa selama 16 jam dan 50 minit.

Selain itu terdapat juga tempat-tempat lain yang mengalami waktu puasa yang hampir sama seperti Warsaw, Poland (15 jam), London, England (15 jam), Paris, Perancis (16 hingga 17 jam), Lisbon, Portugal (15 hingga 16 jam), Athens, Greece (15 hingga 16 jam), Beijing, China (15 hingga 16 jam), Washington DC, US (15 hingga 16 jam) dan Ankara, Turkey (15 hingga 16 jam).

Bagaimana negara mempunyai waktu siang terlalu panjang berpuasa?

Bagaimanapun tempoh masa berpuasa bagi mana-mana negara yang memiliki waktu siang yang terlalu panjang turut wajar diberi perhatian.

Menurut National News, bagi negara yang mempunyai jarak waktu matahari terbit dan terbenam kurang dari tiga jam, fatwa semasa membolehkan penduduknya mengikut waktu puasa bandar/negara terdekat berhampirannya.

Hal ini bertepatan dengan hukum yang pernah ditulis dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini. Petikan penjelasan hukum tersebut adalah seperti berikut:

  1. Dia perlu berpuasa seperti biasa bermula terbit matahari sehinggalah terbenam matahari. Walaupun siangnya panjang, akan tetapi malam dan siang tetap dapat dibezakan dalam tempoh 24 jam. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan waktu solat itu ada yang ditunaikan pada waktu siang dan ada yang ditunaikan pada waktu malam.

Firman Allah swt :

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya :” Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’ : 78)

Firman Allah lagi :

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya :” Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’ : 103)

Kedua-dua ayat al-Quran ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Bin al-‘As. Nabi saw bersabda :

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغْرُبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ

Maksudnya :” Waktu Zuhur adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang. Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.”

Riwayat Muslim (1419)

Walaupun waktu siang di negara tersebut menjangkau 19 jam akan tetapi waktu berpuasa adalah tetap bermula dari terbit matahari sehinggalah terbenamnya mahatari mengikut waktu di Negara tersebut. Ini kerana, malam dan siang tetap dapat dibezakan dalam 24 jam. Ianya dikuatkan lagi dengan firman Allah swt :

كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ

Maksudnya:” Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”

(Surah al-Baqarah : 187)

  1. Situasi sebegini disebut sebagai اختلال العلامة iaitu cacatnya alamat. Ini kerana siangnya panjang lebih daripada kebiasaan di sebahagian negara. Dalam keadaan ini boleh untuk menqiyaskan waktu berbuka kepada mana-mana dua kawasan ini. Iaitu :
  • Kota suci Mekah
  • Negara terdekat yang siang dan malamnya mempunyai tempoh waktu yang sama

Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Jad al-Haq, bekas Shaikhul Azhar, Sheikh Abdul Latif Hamzah,Sheikh Said Tantawi, Sheikh Ali Jumuah dan juga pandangan Sheikh Mustafa al-Zarqa’.

Rujuk al-‘Aql wa al-Fiqh Fi Fahm al-Hadith al-Nabawi (m/s 124)

Sementara itu, tahun ini Arab Saudi dan sebahagian besar Timur Tengah akan berpuasa selama kira-kira 15 jam sehari.

Sumber: National News, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?