Kuala Lumpur – Haron Amat yang merupakan gitaris kedua kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) dilaporkan meninggal dunia pagi semalam disebabkan oleh kanser darah.
Merujuk laporan Utusan, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang kira-kira 9 pagi semalam.
Difahamkan, kesihatan gitaris berkenaan mula merosot sejak kebelakangan ini hingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 3 Mac lalu di hospital tersebut.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya perempuannya, Hana Nafisah Haron seperti yang dilapor Utusan.
“Arwah kerap demam sepanjang sebulan ini. Malah, arwah mengalami ruam pada bahagian badan, tetapi hanya diubati dengan menyapu krim kulit.
“Doktor mengesahkan arwah menghidap penyakit kanser darah dan dimasukkan ke ICU pada 3 Mac lalu.
“Selepas keluar hospital, arwah melakukan proses kimoterapi. Pernah suatu ketika, arwah demam teruk dan keluarga memutuskan untuk membawanya ke hospital,” katanya, memetik Utusan.
Sehubungan itu, jenazah Allahyarham telah selamat disempurnakan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Abu Ubaidah, Sri Rampai selepas Asar semalam.
Sumber: Utusan