Putrajaya – Pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik tidak lama lagi diwajibkan untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Memetik laporan Sinar Harian, langkah itu perlu dilakukan susulan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada Selasa.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), perintah tersebut akan berkuat kuasa pada Rabu.
“Pewartaan ini bertujuan untuk memastikan peranti yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya.
Difahamkan, penandaaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti, alat gantinya atau pada bekas peranti itu, dibekalkan yang mudah dilihat oleh pengguna.
“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan,” katanya.
Jelas kementerian itu lagi, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang melanggar perintah tersebut.
“Bagi syarikat, denda RM200,000 boleh dikenakan dan RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.
“Individu yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Mereka turut boleh dikenakan denda RM250,000 atau dijel sehingga lima tahun sekiranya melakukan kesalahan berulang kali,” katanya.
Sumber: Sinar Harian