Billionair Amerika Syarikat yang juga pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk dilapor membeli saham Twitter sekaligus menjadi pemegang saham individu terbesar syarikat media sosial itu.
Saham syarikat Twitter itu dilapor melonjak naik sebanyak satu perempat selepas Elon membeli saham sebanyak 9.2 peratus bernilai hampir RM12 bilion. Jumlah pelaburan yang dibuat juga mengatasi mana-mana rekod keuntungan yang pernah dicatatkan oleh Twitter.
Tidak lama selepas menjadi pemegang saham individu terbesar, beliau kemudian telah memuat naik satu tweet polls bertanya kepada pengikutnya sama ada fungsi sunting perlu ditawarkan oleh Twitter di masa akan datang.
Ironinya, dalam tweet berkenaan, Elon seolah-olah sengaja salah mengeja opsyen polls yang ditawarkan iaitu ‘Yes’ sebagai ‘yse’ dan ‘No’ sebagai ‘on’.
Para pengguna Twitter sekian lama mendesak agar fungsi sunting seperti yang ada di Facebook ditawarkan di platform tersebut. Dengan pelantikan Elon dan tweet viralnya sebentar tadi, kemungkinan untuk melihat idea tersebut menjadi realiti adalah tinggi ketika ini.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tidak jelas sama ada tinjauan pendapat itu adalah permintaan sebenar atau sekadar jenaka. Setakat ini, tinjauan berkenaan sudah mendapat lebih 3 juta undian.
Do you want an edit button?
— Elon Musk (@elonmusk) April 5, 2022
Tinjauan yang dibuat itu turut mendapat perhatian CEO Twitter, Parag Agrawal yang meminta netizen membuat undian dengan penuh berhati-hati memandangkan ia mampu mempengaruhi keputusan-keputusan yang akan dibuat Twitter di masa akan datang.
Tidak lama selepas itu, Parag kemudiannya mengumumkan pelantikan Elon Musk sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Twitter.
“Saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Elon Musk telah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah. Melalui perbualan kami sejak beberapa minggu lalu, ia menjadi jelas bahawa beliau boleh memberikan nilai tambah kepada barisan ahli lembaga pengarah yang ada.
”Semangat dan kritikannya terhadap perkhidmatan ini (Twitter) adalah sesuatu yang kami perlukan untuk menjadikan kami pasukan yang kuat dalam jangka masa yang panjang. Selamat datang Elon” katanya.
Elok Musk dalam satu ciapan balasnya di Twitter memberitahu tidak sabar untuk bekerjasama dengan Twitter.
“Tidak sabar untuk bekerjasama dengan CEO Parag dan Twitter untuk membuat penambahbaikan pada Twitter dalam beberapa bulan akan datang.”
Sumber: News.sky, Twitter Parag Agrawal