Siakap Keli
youtuber terkenal ditahan
Gambar hiasan via Indianexpress/Google

Youtuber Terkenal Ditahan, Bantu Siasatan Kes Wanita Mati Dipukul

Pulau Pinang – Seorang lelaki yang disyaki memukul wanita dipercayai teman wanitanya hingga maut di sebuah kediaman kenalan mereka di Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Sabtu ditahan polis.

Memetik Kosmo!, dalam masa sama, salah seorang suspek  yang juga rakan kepada teman lelaki mangsa dilapor merupakan Youtuber terkenal yang memiliki lebih 100,000 pengikut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jena berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia lingkungan 20-an bersama tiga lagi rakan lelakinya dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya sejak semalam hingga hari ini.

Jelas Kamarul Rizal, keempat-empat suspek itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau mengenai wanita (mangsa) yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal 2 April lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa berusia 20 tahun itu mendapati kesan-kesan lebam lama dan baharu pada seluruh anggota badannya.

“Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan kekasih wanita itu bersama tiga lagi rakannya yang dipercayai berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, memetik Kosmo! hari ini.

Difahamkan, semua suspek kini sedang berada dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini untuk membantu siasatan di bahawa Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).

Sumber: Kosmo!

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.