Dalam era teknologi, telefon pintar (smartphone) merupakan salah satu kelengkapan dalam hidup seseorang individu, malah ada yang sampai memiliki dua atau tiga telefon pintar sekaligus.
Bagaimanapun ‘hasil’ perkembangan teknologi, ada sesetengah orang tergamak mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan sindiket penipuan melalui telefon pintar yang biasanya digelar “Macau Scam“.
Tidak dinafikan, menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), kebanyakan penipuan ini menggunakan medium ‘Caller ID Spoofing‘. Teknik ini merupakan cara yang seringkali digunakan oleh sindiket Macau Scam.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, Pejabat Polis Tangkak menerusi Facebook ada perkongsiannya seperti di bawah.
‘Caller ID Spoofing’, Polis Dedah Taktik Licik Sindiket Macau Scam Guna Nombor JSJK Bukit Aman
Merujuk perkongsian di FB Pejabat Polis Tangkak, Caller ID Spoofing merupakan kegiatan menukar nombor telefon yang asal kepada nombor telefon lain sebelum dipaparkan kepada penerima. Tujuannya adalah supaya kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa.
Bagaimana penjenayah guna taktik ini?
Menurut PDRM, terdapat tiga langkah mudah bagaimana penjenayah menggunakan taktik licik dalam memperdaya mangsa-mangsa mereka melalui Caller ID Spoofing ini.
Pertama, mereka akan menggunakan nombor ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman (03-2610 1222) kononnya sebagai nombor talian sebenar mereka.
Kemudian, mereka akan menggunakan aplikasi spoof / VoIP untuk menukarkan nombor telefon talian sebenar mereka (contoh: 011-2xxx xxxx) kepada nombor pejabat JSJK (03-2610 1222).
Akhir sekali, apabila mereka mula menghubungi mangsa, nombor talian yang tertera di paparan skrin telefon mangsa adalah nombor pejabat JSJK – setelah ‘ditukar’ melalui aplikasi spoof.
Akibat daripada itu, mangsa pasti akan meyakini bahawa panggilan yang diterima itu seakan benar-benar daripada pejabat JSJK – walhal ia adalah penjenayah.
Untuk keterangan lebih jelas, anda boleh rujuk infografik ringkas di bawah.

Macam mana polis tahu teknik ini yang digunakan suspek?
Walau bagaimanapun, polis telah mengetahui teknik licik seperti ini kerana pernah menangkap penjenayah yang menggunakannya sebelum ini. Hasil siasatan dan kajian membuatkan pihak polis dapat membongkarkan teknik yang mereka gunakan.
Kalau sudah tahu, kenapa polis tak kesan saja?
Mungkin ada yang terfikir, jika Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sudah mengetahui taktik licik ini, kenapa mereka tidak kesan saja penjenayah-penjenayah yang ada?
Jawabnya, hal ini adalah kerana sistem komunikasi di negara ini bukan di bawah selenggara pihak PDRM. Semua maklumat yang diperlukan adalah daripada pihak ketiga, barulah tindakan siasatan dapat dijalankan.
Jadi kenapa Macau Scam masih ada lagi?
Walaupun ramai penjenayah caller spoofing yang telah ditangkap, namun ia seperti tidak ada ‘penghujungnya’. Setiap kali pihak polis memberkas sekumpulan penjenayah, pasti muncul pula kumpulan yang lain.
“Alaa polis tangkap lepas tu lepas.”
Mungkin dakwaan ini sering kedengaran oleh orang awam yang beranggapan pihak polis akan ‘melepaskan’ semula penjenayah. Namun jangan begitu, ada beberapa perkara perlu diperhatikan sebenarnya.
Adakah anda tahu apa itu tempoh reman? Adakah anda tahu reman itu diluluskan oleh siapa? Adakah anda tahu selepas reman tamat apa yang perlu dilakukan jika siasatan belum lengkap?
Adakah anda tahu siapakah yang akan menentukan sesuatu siasatan itu sudah lengkap atau tidak? Adakah anda tahu yang menuduh dan membebaskan seseorang daripada pertuduhan itu tugas siapa?
“Haa admin saja tinggalkan soalan supaya masyarakat Malaysia gunakan Google sebaiknya. Bila Google satu perkara maka akan jumpa lebih banyak perkara. Makin bertambah ilmu.
“Tapi ilmu tanpa guru juga salah. Selepas baca, bertanya kepada orang dibidang itu. Merendah diri untuk bertanya itu mendidik kita supaya tidak bongkak dan bangga diri,” memetik perkongsian itu.

Sumber: Facebook Pejabat Polis Tangkak