Siakap Keli

Cara Mencegah Dan Mengurangkan Kesan Banjir Kepada Rumah Anda

Malaysia diberkati dengan iklim tropika sepanjang tahun yang juga bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi. Walaupun negara kita terkenal dengan cuaca panas yang menjadi tarikan para pelancong, kita masih perlu menghadap musim tengkujuh yang melanda pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak pada waktu berbeza yang mampu mengganggu kehidupan seharian.

Malaysia menerima hujan yang banyak dan sering mengalami ribut petir sepanjang tahun. Purata hujan di Malaysia direkodkan pada kira-kira 2000 m hingga 2500 m setiap tahun, iaitu antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Disebabkan jumlah hujan yang tinggi ini, banjir kilat dan banjir monsun kini menjadi kebimbangan besar di negara kita dimana tahap banjir boleh meningkat dengan cepat terutamanya apabila hujan lebat seperti apa yang kita alami sekarang. Banjir kilat yang dulu dikatakan “berlaku sekali dalam 100 tahun” kini nampaknya sudah menjadi kejadian biasa. Pada pertengahan Februari tahun ini, banjir kilat telah menjejaskan lapan daerah di Terengganu, manakala pada pertengahan Disember 2021 dan Mac tahun ini, banjir kilat yang melanda Lembah Klang telah menggemparkan negara. Hujan yang lebat menyebabkan air di sistem perparitan melimpah keluar dan ini mengakibatkan banjir yang langsung menyebabkan ramai yang terkandas dalam kereta atau dalam rumah. Banyak harta benda dan kenderaan yang telah rosak akibat ditenggelami air.

Dengan perubahan iklim, pembangunan pesat dan urbanisasi, Malaysia mengalami peningkatan jumlah bencana banjir sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan unjuran menunjukkan peningkatan hujan dan kejadian banjir untuk tahun-tahun akan datang. Kesan ketara kepada aktiviti sosio-ekonomi dan keselamatan masyarakat yang dibawa oleh banjir telah memaksa orang ramai untuk bersiap sedia dalam menghadapi banjir terutama apabila hujan lebat masih berterusan. Sambil menantikan pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menambah baik sistem tebatan banjir di negara ini, kita boleh memainkan peranan dalam mencegah dan mengurangkan kesan banjir kepada rumah dan kawasan kejiranan kita sementara menambah baik persekitaran hidup kita.

  1. Bersihkan dan periksa sistem saliran di sekeliling rumah dengan kerap

Sekatan dalam sistem perparitan merupakan antara punca utama banjir kerana air akan terkumpul di kawasan yang tidak diingini apabila air tidak dapat mengalir. Ia penting untuk membersihkan sistem saliran di sekitar rumah dengan kerap untuk mengelakkan sampah, daun dan serpihan lain bertimbun dan menyekat laluan saliran. Anda juga boleh bekerjasama dengan jiran untuk memantau longkang di kawasan perumahan untuk memastikan kelancaran aliran air. Anda juga boleh hubungi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan dengan segera jika ada longkang yang tersumbat.

2. Ikuti trend “bumbung hijau”!

Bumbung hijau merupakan trend terbaharu dimana bumbung dipenuhi tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerap air hujan lalu mengurangkan berlakunya banjir. Konsep bumbung hijau telah menjadi sangat popular di negara asing sejak beberapa tahun yang lalu kerana manfaat yang boleh dinikmati pemilik bangunan, komuniti dan alam sekitar. Bumbung hijau bertindak sebagai alat pengurusan air hujan untuk bangunan dengan menimbal air melalui tumbuhan, lapisan substrat dan lapisan saliran untuk mengurangkan limpahan air sambil menyingkirkan bahan pencemar dalam air hujan. Namun itu, terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membina bumbung hijau seperti struktur rumah untuk menampung beban bumbung yang direndam air hujan, pemilihan tumbuhan, dan sistem saliran. Pastikan anda berunding dengan pakar industri pembinaan dan seni bina untuk memastikan bumbung hijau anda selamat dan dapat memberikan faedah yang dijanjikan!

3. Pasang sistem penapisan air untuk memastikan kebersihan air selepas banjir

Air yang mengalir dari paip rumah anda berkemungkinan besar telah tercemar akibat berlakunya banjir. Ini kerana apabila banjir, sampah, lumpur, dan sisa daripada sistem pembetungan dan longkang akan ditolak air banjir lalu mengalir masuk ke dalam takungan, telaga dan paip yang membekalkan keperluan air harian anda. Menurut Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat, memasang sistem penapisan air di rumah dapat membantu menyediakan air bersih dan selamat selepas banjir.

“Pencemaran air adalah antara isu terbesar selepas kejadian banjir. Tanpa air bersih dan selamat, kita tidak dapat menjalankan aktiviti harian dan kesihatan kita juga akan terancam. Ini menekankan kepentingan pemasangan sistem penapisan air berkualiti tinggi untuk menyediakan air yang selamat untuk digunakan bagi memastikan kehidupan berkualiti sambil mengurangkan kesan banjir kepada kesihatan dan kehidupan seharian seseorang. Sistem penapisan air di rumah dipasang di tempat kemasukan air utama, bermakna air yang keluar dari paip rumah anda telah selamat ditapis,” jelas Encik Koo.

4. Pasang sistem penuaian air hujan di rumah

Penuaian air hujan bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia masih merupakan istilah yang asing bagi kebanyakan rakyat tempatan. Ia adalah satu konsep yang menarik untuk mengumpul air hujan dan menggunakannya semula untuk berkebun dan pembersihan selepas ia ditapis oleh sistem penuaian air hujan.

Sistem penuaian air hujan mengumpul air hujan yang mengalir dari bumbung dan paip air hujan lalu menyimpannya di dalam tangki air untuk kegunaan masa hadapan. Encik Koo Zao Cheong berkata, “Sistem penuaian air hujan bukan sahaja pilihan mesra alam yang mengurangkan penggunaan air, kajian juga mendapati bahawa sistem ini juga membantu dalam mengurangkan limpahan air hujan dengan mengumpul air dalam tangki sekaligus mengelakkan potensi limpahan sistem saliran semasa hujan ribut.”

Pengajaran daripada kejadian banjir baru-baru ini adalah untuk mempersiapkan diri dan melakukan bahagian kita untuk mengurangkan kesan banjir kepada rumah dan masyarakat. Walaupun usaha individu mungkin kelihatan sedikit, marilah kita melakukan yang terbaik untuk melindungi rumah kita daripada banjir sambil menghasilkan kesan positif kepada alam sekitar.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.