Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat bayaran bagi permohonan Pengeluaran Khas secara sekali pembayaran kepada pencarum yang layak bermula 20 April ini.
Perlu diingatkan bahawa bayaran Pengeluaran Khas akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun ahli. Tetapi sebelum anda menghantar permohonan Pengeluaran Khas tersebut, anda perlulah mengambil tahu beberapa perkara penting supaya ia melancarkan proses permohonan anda.
Mungkin, ramai yang terlepas pandang tentang hal ini, namun jika tidak ditelitikan dengan betul semasa membuat permohonan, ada kemungkinan ia akan mendatangkan masalah kelak.
Dua perkara TIDAK BOLEH selepas permohonan Pengeluaran Khas dihantar.
Pertama, ahli tidak boleh membatalkan permohonan selepas permohonan dihantar. Kedua, ahli juga tidak dibenarkan membuat pindaan amaun pengeluaran selepas menghantar permohonan. Amaun maksimum yang dibenarkan untuk pengeluaran adalah sebanyak RM 10,000. Jadi, anda perlulah memastikan amaun yang mahu dikeluarkan benar-benar memenuhi keperluan mendesak anda.
Simpanan Emas tak diusik
Mungkin perkara ini ramai yang keliru, simpanan Akaun Emas tidak boleh digunakan untuk Pengeluaran Khas.
Jelas KWSP, Akaun Emas merupakan caruman ahli selepas umur 55 tahun. Ahli layak untuk mengeluarkan simpanan tambahan ini setelah berumur 60 tahun. Ini bertujuan untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli pada waktu tersebut.
Apakah implikasi Pengeluaran Khas ini terhadap kelayakan untuk pengeluaran pra-persaraan yang lain?
Memetik daripada KWSP, kelayakan bagi permohonan pengeluaran pra-persaraan yang lain seperti pengeluaran perumahan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya adalah tidak terjejas sekiranya ahli mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 selepas Pengeluaran Khas.
Baca juga: Pengeluaran Khas KWSP: Ahli Perlu Pastikan Akaun Penuhi 3 Syarat Ini, Mudahkan Proses Pembayaran
Terdahulu, dalam satu sidang media Perdana Menteri berkata Pengeluaran Khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion.
Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas.
Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenalkan sebagai langkah sementara.
Langkah tersebut membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumber: KWSP