San Francisco – Twitter mengumumkan bahawa mereka akan mula melakukan eksperimen ke atas butang edit di aplikasi itu tidak lama lagi.
Bagaimanapun, ia hanya akan melibatkan perkhidmatan langganan bulanannya dahulu.
Memetik AFP, ketidakupayaan untuk mengubah suai ciapan telah menjadi aduan utama dalam kalangan pengguna platform itu.
Syarikat itu dikatakan akan mula menguji ciri suntingan di Twitter Blue selepas ahli lembaga pengarah yang baharu, Elon Musk, menjalankan tinjauan dalam talian.
Dalam satu ciapan, Musk bertanya sama ada pengguna inginkan fungsi suntingan atau tidak.
Difahamkan, hampir 4.4 juta undian telah diberikan dan kira-kira 73 peratus daripadanya berkata “Ya”.
“Semua orang bertanya mengenai fungsi ini, ya, kami telah mengusahakan ciri suntingan ini sejak tahun lepas.
“Tidak, kami tidak mendapat idea itu daripada undian tersebut,” katanya di Twitter.
Diminta selama bertahun-tahun
Sementara itu, menurut Ketua Produk Pengguna syarikat itu, Jay Sullivan, ‘Edit’ telah menjadi ciri Twitter yang paling diminta selama bertahun-tahun.
“Orang ramai mahu membetulkan kesilapan yang kadang-kadang memalukan. Mereka kini hanya mampu memadam dan menulis ciapan semula,” katanya.
Firma internet yang berpangkalan di San Francisco itu berkata bahawa mereka akan memulakan ujian dalam beberapa bulan akan datang untuk mengetahui perkara yang berkesan terhadap fungsi itu.
Dalam pada itu, Twitter Blue membenarkan orang ramai membayar yuran langganan bulanan sebanyak $3 (RM12.65) untuk mengakses kandungan atau ciri khas.
Ia boleh didapati di aplikasi Twitter untuk telefon pintar Apple atau Android di Australia, Kanada, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Terdahulu, Twitter mengumumkan bahawa Musk akan menyertai lembaga pengarah syarikat itu.
Mereka berharap penyertaan individu terkaya di dunia itu akan meningkatkan prospek syarikat media sosial tersebut walaupun beberapa pemerhati menyatakan kewaspadaan terhadap pengaruh jutawan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Parag Agrawal menggelar Musk sebagai seorang pengkritik yang kuat terhadap perkhidmatan yang betul-betul diperlukan oleh syarikat itu.
Manakala, Musk berkata dia tidak sabar untuk membuat penambahbaikan yang ketara pada Twitter.
Pada Isnin lalu, beliau mengumumkan mengenai pembelian saham Twitter sebanyak 73.5 juta atau 9.2 peratus daripada saham biasa syarikat itu.
Sumber: AFP