ALOR SETAR – Selepas peningkatan harga ayam proses pada awal bulan ini, pembeli dijangka akan berdepan dengan kenaikan harga daging menjelang sambutan Aidilfitri ini.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, harga daging dijangka melambung berikutan kenaikan harga dedak bermula hari ini.
Menurutnya, kenaikan harga dedak itu dimaklumkan sendiri oleh syarikat pembekal makanan ruminan terbesar di Utara Semenanjung menerusi notis yang dikeluarkan semalam.
Difahamkan, setakat ini harga daging di pasaran telah mencecah RM38 hingga RM40 sekilogram di Kedah.
“Tahun ini, harga dedak di pasaran sudah mencecah RM80 bagi setiap tan metrik berbanding sebelum ini hanya RM60 sahaja,” jelasnya.
Beliau turut berkata, harga setiap beg makanan ruminan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut mengalami kenaikan sebanyak RM 2 sejak 15 Februari lalu.
Berikutan penternak dan peniaga kian terhimpit dengan kenaikan harga dedak yang tinggi, peningkatan harga daging itu dijangka tidak dapat dielakkan lagi.
Dakwanya, walaupun kerajaan telah melaksanakan skim kawalan harga, tetapi harga daging tidak boleh mengikut harga yang ditetapkan kerana peniaga akan menanggung kerugian.
Manakala syarikat yang mengedarkan makanan ruminan pula mendakwa peningkatan itu tidak dapat dielak berikutan kenaikkan harga bahan mentah dalam pasaran.
Justeru, Cake meminta kerajaan untuk terus memberi perhatian terhadap kenaikan harga dedak.
Sumber: Utusan