Kunjungan hormat terhadap YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Pengerusi LPNM, YB Dato’ Dr.Shahruddin Bin Jamal, TKSU (Pembangunan) MAFI, YBhg Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Ketua Pengarah MARDI, YBhg Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, KP LPNM, En Mohd Khairuzamri M.Salleh dan Ketua Pegawai Perbankan Komersial Agrobank, En Azman Md Isa.
YB Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah turut bersama dalam kunjung hormat ini.
Perbincangan antara lain telah menjurus kepada pelbagai bentuk kerjasama bagi terus memodenkan sektor pertanian Negeri Sabah dan pendekatan-pendekatan yang dapat terus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran pertanian negeri dan seterusnya memperkukuh sekuriti makanan negara secara keseluruhannya.
Perjumpaan itu juga turut membincangkan mengenai kerjasama yang akan dimeterai melalui memorandum-memorandum yang akan ditandatangani pada hari ini. Ini turut menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ini termasuk usaha mengembangkan industri nanas di Negeri Sabah melalui kerjasama strategik antara MAFI, MAFS dan LPNM yang seiring dengan hasrat bersama untuk meningkatkan sektor pertanian dan bagi membantu petani-petani di Negeri Sabah.
Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam sektor agromakanan dapat menjadi pemangkin kepada pencapaian dan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 – 2025.
Kerjasama erat antara MAFI dan MAF Sabah adalah penting dalam melaksanakan inisiatif-insiatif yang dirancang dengan baik bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan industri makanan yang mampan dan berdaya saing.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkongsi aspirasi bersama dan komited untuk terus bekerjasama untuk memodenkan sektor agromakanan, meningkatkan produktiviti bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, serta mengurus sektor agromakanan dengan lebih efisien dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara.