Siakap Keli
SIRIM Pada Pelitup Muka
Gambar Hiasan Via Sante Group

SIRIM Pada Pelitup Muka Bukan Perubatan Perlu Lulus 4 Ujian

Seperti yang diketahui, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM pada pelitup muka berkuat kuasa 4 Julai depan.

Penguatkuasaan itu telah diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) beberapa hari lalu.

Difahamkan, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan.

Untuk pengetahuan, pihak SIRIM QAS International Sdn Bhd telah lama menyediakan perkhidmatan pengujian dan pensijilan produk bagi pelitup muka yang dijual dan diimport di Malaysia.

Ia dijalankan di makmal yang diakreditasi dengan kemudahan pengujian terkini di Kompleks SIRIM.

SIRIM pada pelitup muka, bagaimana ia diuji?

Menurut SIRIM, pengujian bagi pelitup muka bukan perubatan merangkumi Bacterial Filtration Efficiency (BFE), Differential Pressure, Splash Resistance Pressure (Synthetic Blood) dan Microbial Cleanliness (Bioburden).

Pengujian itu dijalankan untuk memastikan sesuatu produk menepati keperluan standard yang membolehkan pengilang dan pembekal membezakan produk mereka di pasaran.

Ia juga sekaligus mendapat penerimaan daripada pengguna. Sementara itu, bagi pelitup muka perubatan pula, pengujian boleh digunakan untuk tiga jenis pelitup muka.

Jenis yang pertama adalah untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan terutama dalam situasi epidemik dan pandemik.

Seterusnya, jenis kedua digunakan terutamanya oleh pakar penjagaan kesihatan di dalam bilik bedah atau persekitaran perubatan yang mempunyai persamaan aplikasi Jenis satu dan tiga.

Bagi jenis tiga pula, aplikasi sama digunakan seperti di Jenis Dua dengan sifat tambahan Splash Resistance (R).

Terdahulu, KPDNHEP berkata langkah itu dilakukan berikutan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna.

Denda tidak melebihi RM200,000

Menurut kementerian itu, mana-mana syarikat yang tidak mematuhi perintah tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000, lapor Bernama.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

Di samping itu, denda tidak melebihi RM100,000 pula akan dikenakan terhadap individu.

Malah, individu tersebut mungkin akan dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda sebanyak RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bakal dikenakan.

Sumber: SIRIM, Bernama

Sofea

There's always another side to every story