Tiap kali datangnya Ramadan pasti bermacam-macam lagu Hari Raya Aidilfitri dimainkan, antara yang cukup terkenal ialah Aidilfitri, Selamat Hari Raya, Suasana Hari Raya dan banyak lagi.
Tidak kurang juga, saban tahun lagu-lagu raya versi moden juga makin banyak dihasilkan. Seiring dengan arus moden, muzik, konsep dan pembawaannya juga agak berbeza berbanding lagu raya klasik.
Walau bagaimanapun, lagu-lagu raya moden tersebut agak berbeza ‘auranya’. Berbeza dengan lagu-lagu raya klasik, kebanyakannya masih segar biarpun dimakan tahun, bagaikan tidak luput ditelan zaman.
Menyentuh tentang tidak luput ditelan zaman, baru-baru ini komposer terkenal tanah air, Ajai mengimbau kembali saat-saat manis merekodkan semula nyanyian lagu raya klasik berjudul Aidilfitri oleh penyanyi asalnya, Sanisah Huri.
Dalam satu perkongsian video di Instagram miliknya, kelihatan Ajai bersama Sanisah sedang bersama-sama membuat rakaman lagu berkenaan bagi menerbitkan album Gema Lebaran Lagenda yang diterbitkan pada 2018 lalu.
“Sebuah Album yang pernah saya terbitkan empat tahun lalu. ‘Gema Lebaran Legenda’ ini adalah kenangan terindah yang tidak dapat saya lupakan di mana saya dapat menerbitkan semula.. lagu-lagu nyanyian dari Sanisah Huri.
“Saya recordkan muzik & bunyian baru mengikut arrangement asal. Tiga lagu darinya yang ‘Malah Segar’ ‘Malar Hijau’” katanya dalam kapsyen video itu.
Difahamkan, antara lagu lama yang direkodkan semula oleh Ajai adalah Joget Aidilfitri, Aidilfitri, dan Bersabarlah Sayang ketika rakaman album tersebut.
“Setiap kali datangnya bulan Ramadhan, sebelum menjelang ‘Syawal’ pasti lagunya akan berkumandang & secara tidak langsung lagu-lagunya menghidupkan suasana itu.
“Vokalnya masih lagi seperti dulu kala, macam bunyi dalam piring hitam..Syukur Alhamdulillah dia diberikan kekuatan.
“Saya doakan, moga ibu Sanisah Huri sentiasa diberikan kesihatan dan dipelihara Allah. Terima kasih untuk kenangan terindah ini,” katanya lagi.
View this post on Instagram
Menyentuh pasal Sanisah Huri, beliau dilahirkan pada 7 Januari 1952 dan merupakan anak kelahiran Singapura.
Beliau mula terlibat dalam industri nyanyian tanah air melalui EMI untuk album runut bunyi bagi filem A-Go-Go ’67 iaitu keluaran Shaw Brothers’. Sejak dari itu, namanya kian naik dan menjadi pujaan ramai pada suatu ketika dahulu.
Lagu-lagunya juga seringkali dimainkan di radio Malaysia dan juga Singapura. Antara lagunya yang popular termasuklah Siapa Gerangan dan Alam Seni (iringan The Terwellos). Selepas itu, beliau merakam dengan The Hooks untuk lagu-lagu seperti Si Baju Hijau dan Cuti Sekolah.
Namun sejak tahun 1971, Sanisah Huri mula merakam lagu secara solo sehinggalah kontraknya dengan EMI tamat pada tahun 1974.
Di antara lagu-lagu hit beliau ialah Semenjak Berjauhan, Permata Hatiku, Sejak Ku Bertemu Padamu, Kisah Tuah Dan Tijah, Indah Di Sepanjang Perkenalan, Tari Tualang Tiga, Joget Menanti Jodoh dan banyak lagi.
Kini, difahamkan beliau sudah tidak berkecimpung lagi dalam industri nyanyian secara aktif dan kembali menetap di bumi kelahirannya, Singapura.
Setiap kali hari raya, pasti ramai yang akan mendengarkan dendangan lagunya yang penuh nostalgia. Sehingga kini, masih ramai yang tidak pernah jemu mendengarkan Aidilfitri dek merdunya suara Sanisah Huri.
Sumber: Instagram byajai, wikipedia