Siakap Keli
kisah lubna
Gambar via chanelmuslim, www.e-ir.info

Kisah Lubna, Wanita ‘Hamba’ Yang Berperanan Penting & Dipandang Tinggi Di Cordoba

Seperti yang diketahui, Kerajaan Bani Umayyah mula bertapak di Damsyik pada suatu ketika dahulu, kemudiannya berpindah ke Cordoba, Sepanyol.

Kegemilangan Islam pada ketika itu telah tersebar ke Andalusia. Semasa zaman ini telah banyak melahirkan intelektual-intelektual dan para ilmuwan yang memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang.

Namun, pada ketika itu, sangat jarang untuk mendengarkan khabar tentang tokoh wanita yang disebut-sebut namanya dalam Islam terutamanya semasa pemerintahan Bani Umayyah.

Terdapat seorang sosok wanita pada ketika itu yang sangat hebat terlibat dalam sistem pemerintahan kerajaan pada abad ke-10 Masihi, iaitu Lubna.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah Lubna ini, namun di dalam sejarah mungkin agak jarang diceritakan tentang latarbelakangnya.

Pada asalnya, Lubna merupakan seorang hamba di Cordoba dan kemudiannya dibesarkan di Istana Khalifah Abdurrahman III.

Dikatakan sewaktu itu, Lubna sangat hebat kerana dia satu-satunya wanita yang dapat memegang banyak jawatan dalam kerajaan dan mahkamah yang pada ketika itu rata-ratanya dipegang oleh golongan lelaki.

Lubna juga dikatakan bukan sahaja popular sebagai ahli mahkamah, tetapi dia juga seorang penyair yang sangat fasih. Selain menjadi seorang penulis buku yang banyak menghasilkan karya, dia juga terkenal kerana suka mengkaji ilmu dengan sangat meluas.

Seorang sejarawan dan penulis sejarah Andalusia, Ibnu Bashkuwal mengatakan, Lubna juga merupakan wanita yang ahli dalam bidang tatabahasa, penulisan dan puisi. Dikatakan juga, beliau mahir dalam ilmu matematik dan sains.

Peranan Lubna Dalam Pemerintahan Andalusia

Peranan utama Lubna dalam pemerintahan Istana Andalusia adalah berperanan sebagai setiausaha dan merupakan seorang jurutulis peribadi Sultan dan juga anaknya, Al-Hakam II.

Turut dikatakan, Lubna juga merupakan sosok yang bertanggungjawab membawa masuk karya ataupun kitab-kitab Arab daripada Kaherah, Damsyik dan  Baghdad masuk ke dalam perpustakaan Cordoba.

Selain itu juga, Lubna terkenal sebagai penulis buku atau karya-karya. Tidak kurang juga, beliau merupakan seorang penterjemah kepada kitab-kitab yang ‘tinggi’ laras ilmiahnya seperti ‘Euclid’ dan ‘Archimedes’.

Dia juga seorang yang tidak kedekut dengan ilmunya. Diceritakan juga kisah Lubna, setiap kali beliau ulang-alik ke istana, beliau akan singgah di mana-mana untuk mengajar dan berkongsi ilmunya kepada anak-anak tempatan di kawasan tersebut.

Bahkan, beliau juga akan membacakan waktu jadual anak-anak itu, selain turut akan memberikan soalan berkaitan pelajaran kepada mereka untuk diselesaikan.

Namun terdapat penyelidik iaitu Kamilah Shamsie berpendapat bahawa Lubna yang dapat kita gambarkan sekarang adalah gabungan antara dua wanita iaitu Lubna dan juga Fatimah.

Menurutnya, dia bersetuju bahawa Lubna merupakan seorang penulis, penterjemah dan penyair. Tetapi, wanita yang kedua iaitu Fatimah pula bertanggungjawab membawa masuk kitab dan karya ke perpustakaan Cordoba.

Namun, mengapa nama Fatima tidak disebutkan di dalam sejarah Islam? Mungkin disebabkan kemunculan intelektual-intelektual lelaki yang ramai membuatkan nama Fatimah ini tenggelam.

Tidak kira sama ada Lubna ataupun Fatimah, kita perlu contohi sikap yang ditonjolkan oleh mereka dan menjadi teladan kepada kita serta masyarakat lain.

Sumber: Youtube Siakap Keli

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.