Google dilapor menyekat berdozen-dozen aplikasi di Playstore, termasuk aplikasi Islamik popular yang dimuat turun lebih 10 juta kali, selepas didapati secara tersembunyi menjalankan aktiviti pengintipan dan mengumpul data pengguna.
Antara aplikasi lain yang turut disekat adalah beberapa aplikasi yang menawarkan fungsi pengimbas kod bas, aplikasi cuaca dan widget jam.
Khaleej Times yang memetik laporan The Wall Street Journal, kod-kod ‘spyware’ berkenaan dipercayai dihasilkan oleh sebuah firma yang mempunyai kaitan dengan kontraktor pertahanan Amerika Syarikat. Kontraktor pertahanan tersebut dikaitkan dengan aktiviti pengintipan siber, pertahanan-jaringan internet dan aktiviti pemintasan-pengintipan untuk agensi keselamatan Amerika Syarikat.
Kod-kod tersebut dilapor berupaya untuk mengutip maklumat peribadi pengguna aplikasi berkenaan seperti nombor telefon. Sesetengah aplikasi berkenaan malah mampu mengumpul jejak lokasi pengguna. Secara keseluruhan, kesemua aplikasi berkenaan dimuat turun lebih 60 juta kali.
Google dilapor membuang aplikasi berkenaan pada 25 Mac lalu, namun menegaskan bahawa aplikasi-aplikasi yang terlibat boleh ditawarkan kembali di Playstore dengan syarat pembangun memadam kod-kod spyware berkenaan. Sesetengah aplikasi tersebut sudahpun ditawarkan di Playstore semula.
Sumber: Khaleejtime, The Wall Street Journal