Siakap Keli

Pengeluar Senjata Amerika Syarikat Dijangka Raih Untung Besar Akibat Perang Rusia-Ukraine

Syarikat-syarikat pengeluar senjata yang berpangkalan di Amerika Syarikat dijangka akan meraih untung besar akibat perang Ukraine-Rusia.

Buat masa ini, syarikat-syarikat tersebut tidak mendapat sebarang untung secara langsung daripada penghantaran beribu-ribu peluru berpandu, dron dan senjata lain oleh Amerika Syarikat ke Ukraine.

Namun pemerhati berpendapat syarikat-syarikat ini akan mendapat keuntungan jangka panjang apabila negara-negara lain dijangka akan mengambil langkah untuk mengukuhkan pertahanan negara masing-masing berikutan kebimbangan ancaman Rusia.

Seperti negara-negara Barat lain, Amerika Syarikat membekalkan stok senjata sedia ada yang sudah dibeli dari pembekal senjata seperti peluru berpandu anti-kereta kebal, Javelin dan Stinger kepada Ukraine. Kedua-dua senjata dibeli daripada Lockheed-Martin dan Raytheon Technologies dan pembayaran sudahpun dibuat oleh Amerika Syarikat sebelum ini.

Justeru, pemerhati berpendapat tiada sebarang peningkatan keuntungan bagi kedua-dua firma tersebut yang akan menerbitkan laporan prestasi syarikat suku pertama tahun ini beberapa minggu lagi.

Namun begitu, pedapatan kedua-dua syarikat tersebut dalam jangka masa panjang dijangka bertambah memandangkan Amerika Syarikat terpaksa menggantikan semula stok-stok senjata berkenaan bagi memastikan keampuhan angkatan tenteranya tidak terjejas.

Malah, Pentagon juga sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya merancang untuk melaburkan dana sebesar USD 3.5 bilion (RM 14.78 bilion) untuk tujuan tersebut.

Peluru berpandu anti kereta kebal Javelin dihasilkan melalui kerjasama antara Lockheed dan Raytheon. Manakala penghasilan peluru berpandu anti pesawat Stinger pula dihentikan sementara sehinggalah ia disambung semula apabila mendapat tempahan bernilai USD 340 juta (RM 1.43 bilion) daripada Amerika Syarikat pada musim panas lalu.

”Kami ketika ini sedang menilai pilihan-pilihan yang ada untuk menyegerakan penggantian stok-stok senjata milik Tentera Amerika Syarikat dan juga negara sekutu.

”Bagaimanapun, ia akan mengambil masa di peringkat pengeluar untuk memulakan produksi semula,” kata jurucakap Pentagon.

Raytheon mencatatkan pendapatan sebanyak USD 64 bilion (RM 270 bilion) manakala Lockheed pula mencatatkan pendapatan sebanyak USD 67 bilion (RM 282 bilion) tahun lepas.

Menurut CEO Raytheon, Greg Hayes, konflik dan ketegangan yang berlaku di negara-negara Timur Tengah, Asia dan Timur Eropah dijangka akan memacu penjualan senjata firmanya di peringkat antarabangsa. Syarikat itu antara lain turut membekalkan sistem peluru berpandu Patriot kepada Arab Saudi.

Bagi CEO Lockheed pula, James Taiclet, beliau melihat apa yang berlaku ketika ini adalah ‘pembaharuan persaingan antara kuasa besar’ dan akan memaksa Amerika Syarikat meningkatkan perbelanjaan pertahanannya.

”Perang di Ukraine telah mengubah landskap geopolitik yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun lepas.

”Banyak negara mula menyedari bahawa dunia hari ini menjadi semakin kurang selamat. Negara-negara ini melihat bahawa aspek pertahanan negara mereka perlu diperkuat dan sudah tentu ia akan menguntungkan syarikat-syarikat pengeluar senjata,” katanya.

Beberapa negara Eropah juga dijangka akan menilai semula keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan pertahanan sebelum ini. Jerman misalnya, telah mengumumkan bahawa pihaknya akan menyediakan dana segera sehingga 100 bilion Euro (RM 459 bilion) bagi mendapatkan senjata dan sistem pertahanan terkini.

Antara yang dirancang adalah untuk mendapatkan puluhan jet pejuang halimunan generasi ke-5 F-35 daripada Lockheed.

Bagi negara-negara yang menjadi anggota NATO, mereka dijangka akan mendapatkan bekalan senjata yang mudah dioperasikan bersama tentera Amerika Syarikat. Ini disebabkan Amerika Syarikat merupakan tunjang utama bagi NATO.

Manakala bagi Amerika Syarikat, Joe Biden sebelum ini sudahpun mengusulkan satu cadangan untuk menambah perbelanjaan pertahanan negaranya sebanyak 4 peratus.

Sumber: AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.