Senator Parlimen mewakili Orang Kelainan Upaya (OKU), Ras Adiba Mohd Radzi memberi sokongan penuh atas penamatan lantikan jawatan Syed Azmi sebagai penasihat mahkamah kanak-kanak.
Maklum Ras Adiba, sokongan penamatan lantikan jawatan bagi individu tersebut turut dibawa sehingga ke peringkat Perdana Menteri.
“Saya menyokong penuh memorandum yang mengesyorkan untuk menamatkan lantikan Syed Azmi Alhabshi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Perkara ini saya akan bawa kepada perhatian terus YAB Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, jelas beliau, sokongan penamatan lantikan tersebut turut berkaitan dengan isu integriti serta percanggahan kepentingan.
“Percanggahan kepentingan ini berlaku apabila Penasihat MBKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemegang Amanah YKN (Syed Azmi) juga merupakan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO, di mana Bella ditempatkan.
“Ini jelas menunjukkan terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan (conflict of interest),” tambahnya.
Difahamkan, memorandum tersebut telah disampaikan oleh pensyarah dan aktivis kanak-kanak, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar yang diusahakan bersama dua peguam yang juga aktivis kanak-kanak, Fatihah Jamhari dan Megat Syazlee Mokhtarum.
Di penghujung kenyataan tersebut, Ras Adiba turut menulis frasa ringkas #justiceforbella dan #keadilanbuatbella, dipercayai berikutan kes kanak-kanak tersebut yang kembali ‘hangat’ baru-baru ini.
Sumber: FB Ras Adiba