Siakap Keli
waktu imsak

Betul Ke Masuk Waktu Imsak Dak Tak Boleh Makan, Sama Ke Dengan Waktu Subuh? Ini Jawapan Mufti

Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Dalam bulan ini juga, pelbagai istilah yang jarang kita dengar akan muncul, seperti waktu imsak. Hari ini merupakan hari ke 11 Ramadan, tetapi masih ramai yang tertanya-tanya mengenai waktu bermulanya berpuasa.

Mesti ada di antara kita, yang masih keliru bermula puasa pada waktu imsak atau subuh. Adakah akan batal puasa sekiranya kita makan selepas waktu ini? Apakah yang dimaksudkan dengan waktu imsak ini?

Jadi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan secara menyeluruh tentang persoalan yang bermain di minda anda semua. Semoga, dengan penjelasan ini dapat memberi ilmu baharu kepada kita.

SOALAN:

Assalammualaikum tuan.

Saya ada kemusykilan tentang waktu imsak, adakah masuknya waktu imsak kita tidak dibenarkan makan/minum atau imsak itu sendiri adalah masuk waktu subuh. Terima kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Ada waktu imsak yang yang disunatkan kita berhenti makan sebagai sikap berhati-hati dengan munculnya fajar yang menandakan subuh.

Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW dan Zaid bin Tsabit bersahur bersama. Apabila selesai daripada sahur mereka berdua, Nabi SAW bangun lalu bersolat. Kami (para sahabat) bertanya kepada Anas, ‘Berapa kadar masa antara waktu sahur mereka dan masuknya mereka untuk bersolat?’ Anas menjawab, ‘Kadar apa yang boleh dibaca oleh seorang lelaki sebanyak lima puluh ayat.’

Hadis riwayat Imam Bukhari (550) dan Imam Muslim (1097).

Sebagai langkah mengelakkan syak

Tujuan penandaan waktu imsak ini ialah sebagai langkah mengelakkan syak, sama ada sudah terbit fajar atau belum, dengan afdal meninggalkan makan dan minum sedikit masa sebelum terbitnya fajar.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/189)

Manakala waktu imsak dalam erti kata puasa itu sendiri ialah wajib menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, bermula terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari, seperti mana firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).

(Surah al-Baqarah, 2:187)

Wallahua’lam

BACA: Betul Ke Masuk Waktu Imsak Dak Tak Boleh Makan, Sama Ke Dengan Waktu Subuh? Ini Jawapan Mufti

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang