Ramadan adalah bulan barakah yang Allah berikan kepada hambaNya. Seluruh umat Islan berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan ini. Ketika berpuasa, terdapat larangan-larangan tertentu yang mana jika dilanggar, maka batal puasa seseorang itu.
Namun adakah kita benar-benar berisitqamah? Sering sahaja kita mendengar ada segelintir individu yang suka melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan hubungan manusia berpecah belah. Buanglah tabiat buruk itu di bulan puasa ini, bersungguh-sungguhlah untuk mendapat barakah di bulan Ramadan kali ini.
Mungkin ramai yang pernah dengar tentang ‘hadis’ yang mengatakan melagakan dan mengadu domba tentang orang lain boleh membatalkan puasa? Kalau pernah, jom kita lihat sejauh mana kesahihan ‘hadis’ ini mengikut penjelasan daripada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan, adakah betul ada hadis orang yang suka melagakan orang dan suka mengadu domba pada bulan Ramadan, puasanya akan terbatal? Saya pernah dengar dalam satu ceramah ada ustaz sebut melagakan orang bulan puasa baik berbuka sebab puasanya sudah terbatal sebab kata beliau Nabi yang sebut begitu. Mohon pencerahan ustaz.
Ringkasan jawapan :
Hadis ini disebutkan oleh al-Dailamī (m. 509 H) di dalam al-Firdaus bi Ma’thūr al-Khiṭāb tanpa sanad. Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852 H) kemudian mengemukakan sanad tersebut di dalam karya beliau al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzī (m. 597 H) di dalam al-Mauḍu’at.
Kesimpulannya, hadis ini palsu kerana di dalam sanad hadis ini terdapat tiga orang perawi yang terkenal dengan jenayah pemalsuan hadis iaitu Maysarah bin ‘Abd Rabbih, Sa’īd bin ‘Anbasah al-Rāzī dan Muhammad bin Hajjāj al-Lakhmī. Walaupun Baqiyah bin Walid seorang perawi yang dipercayai namun riwayat beliau menjadi perhatian ulama hadis terutamanya jika beliau meriwayatkan hadis daripada perawi yang bermasalah. Hadis ini beliau riwayatkan daripada Muhammad bin Hajjāj yang merupakan pendusta. Keadaan yang sebegini menyebabkan riwayat beliau tertolak menurut apa yang telah dijelaskan oleh ulama hadis.
Walaupun hadis ini palsu, melagakan orang sehingga mencetuskan pergaduhan ialah perkara yang dilarang khususnya ketika berpuasa. Larangan ini dijelaskan secara isyarat dalam hadis yang lebih sahih. Walaupun tidak membatalkan puasa, namun perkara tersebut boleh mengurangkan pahala puasa.
Huraian jawapan
Hadis tersebut disebutkat oleh al-Dailamī (m. 509 H) di dalam karya beliau, al-Firdaus bi Ma’thūr al-Khiṭāb[1]. Beliau meriwayatkan teks seperti berikut:
أنس بن مَالك: خمس يفطرن الصَّائِم وينقض الْوضُوء الْكَذِب والنميمة والغيبة وَالنَّظَر بالشهوة وَالْيَمِين الكاذبة
Maksudnya : “Anas bin Mālik meriwayatkan : Lima perkara yang boleh menyebabkan puasa dan wuduk terbatal iaitu menipu, mengadu domba, mengumpat, melihat sesuatu dengan pemuh syahwat dan melakukan sumpah palsu.”
Ibn Hajar al-‘Asqalānī (m. 852 H) mengemukakan sanad hadis yang disebutkan oleh al-Dailamī di dalam al-Gharāib al-Multaqiṭah min Musnad al-Firdaus.[2] Beliau menukilkan :
قال: أنا أبي أنا أبو علي ابن البناء، نا أبو الفتح بن أبي الفوارس إملاءً نا عبد الله بن محمد بن جعفر، نا أحمد بن جعفر الجمال، نا سعيد بن عنبسة، نا بقية، نا محمد بن الحجاج عن جابان عن أنس رضي الله عنه
Terjemahan : Ayah saya memberitahu saya hadis ini, beliau berkata: Abu ‘Ali ibn al-Banna memberitahu kami hadis ini, beliau berkata: Abu al-Fatḥ bin Abī al-Fawāris memberitahu kami secara imlā[3], beliau berkata : Abdullah bin Muhammad bin Ja’far memberitahu kami hadis ini, beliau berkata: Ahmad bin Ja’far al-Jammāl memberitahu kami hadis ini, beliau berkata : Sa’īd bin ‘Anbasah memberitahu kami hadis ini, beliau berkata : Baqiyyah memberitahu kami hadis ini, beliau berkata: Muhammad bin Hajjāj memberitahu kami hadis ini. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada Jābān, Jābān pula meriwayatkan daripada Anas RA.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn al-Jawzī (m.597 H) di dalam al-Mauḍu’āt.[4] Beliau menukilkan sanad seperti berikut:
أَنبأَنَا مُحَمَّد بن نَاصِرٍ أَنْبَأَنَا الْحَسَنُ بْنُ أَحْمَدَ الْبَنَّاءُ حَدَّثَنَا أَبُو الْفَتْحِ بْنُ أَبِي الْفَوَارِسِ حَدَّثَنَا أَبُو مُحَمَّدٍ عبد الله بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ جَعْفَرٍ الْحَمَّالُ حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عَنْبَسَةَ حَدَّثَنَا بَقِيَّةُ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْحَجَّاجِ عَنْ جَابَانَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Terjemahan : Muhamamd bin Nāṣir memberitahu kami hadis ini, beliau berkata: al-Ḥasan bin Ahmad al-Bannā’ memberitahu kami hadis ini, beliau berkata: Abu al-Fatḥ bin Abī al-Fawāris menceritakan kepada kami hadis ini, beliau berkata: Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin Ja’far menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Ahmad bin Ja’far al-Ḥammāl[5] menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Sa’īd bin ‘Anbasah menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Baqiyah menceritakan hadis ini kepada kami beliau berkata Muhammad bin al-Hajjāj menceritakan hadis ini kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Jābān, Jābān pula meriwayatkan daripada Anas RA, Anas berkata: Rasulullah SAW bersabda.
Kisah tiga orang perawi yang terkenal dengan jenayah pemalsuan hadis

Analisis riwayat
Dalam sanad yang lain, antara Muhammad bin al-Hajjāj dan Jābān terdapat perawi yang bernama Maysarah bin ‘Abd Rabbih. Justeru, Maysarah seakan sengaja digugurkan kerana Maysarah bin ‘Abd Rabbih ialah antara perawi yang sering dikritik oleh ulama hadis kerana memalsukan hadis. Hal ini disebutkan oleh Abu Hatīm seperti yang dinukilkan oleh anak beliau, Ibn Abī Ḥātim.[6] Al-‘Uqailī mengatakan bahawa kebanyakan hadis yang diriwayatkan oleh Maysarah ialah hadis yang batil dan banyak kesilapan.[7] Imam al-Bukhari turut mengkritik Maysarah.[8]
Di samping itu, terdapat juga perawi yang bermasalah dalam sanad ini, antaranya :
Sa’īd bin ‘Anbasah al-Razī. Abū Ḥātim (m.277 H) mengatakan bahawa Sa’īd bin ‘Anbasah tidak boleh dipercayai.[9] Yahya bin Ma’īn (m. 233 H) menjelaskan bahawa beliau seorang pendusta.[10]
Baqiyah bin Wālīd al-Kula’ī ialah seorang perawi yang thiqah akan tetapi para ulama hadis banyak melakukan penelitian terhadap hadis riwayat beliau.
Para ulama hadis sangat berhati-hati khususnya apabila beliau meriwayatkan hadis daripada perawi yang tidak dikenali dan bermasalah. Para ulama memberikan beberapa garis panduan apabila berinteraksi dengan riwayat Baqiyah bin Wālīd[11]:
Imam Ahmad bin Hanbal (m.241 H) pernah ditanya tentang Baqiyah dan Ismail bin ‘Ayyash, beliau berkata :
بقية أحبُّ إليَّ، وإذا حدَّث عن قوم ليسوا معروفين فلا تقبلوه
Maksudnya : “Baqiyah lebih saya suka namun jika beliau meriwayatkan hadis dariada perawi yang tidak dikenali jangan kalian menerimanya.”[12]
Yahya bin Ma’in menyebut :
إذا حدث عن الثِّقات مثل صفوان ابن عمرو وغيره، وأما إذا حَدَّث عن أولئك المجهولين فلا، وإذا كَنَّي الرجل ولم يسمِّ اسم الرجل، فليس يساوي شيئًا
Maksudnya : “Riwayat beliau hanya diterima hanya jika beliau meriwayatkan hadis daripada perawi thiqah seperti Ṣafwān Ibn ‘Amr dan lain-lain. Namun begitu, jika beliau meriwayatkan hadis daripada perawi yang tidak dikenali maka riwayat beliau tertolak. Jika beliau memberikan gelaran kepada seseorang dalam sanadnya namun tidak dinamakan dengan nama yang sebenar, riwayat tersebut tidak boleh dijadikan hujah.”[13]
Abu Zur’ah (m. 199 H) menjelaskan :
ما لبقية عيب إلا كثرة روايته عن المجهولين، فأما الصدق، فلا يُؤْتي من الصدق، وإذا حدث عن الثقات فهو ثقةٌ
Maksudnya : “Baqiyah tidak mempunyai aib namun beliau sering meriwayatkan hadis daripada perawi yang tidak dikenali (majhul). Beliau terkadang tidak mempunyai sifat benar dalam periwayatan. Jika beliau meriwayatkan hadis daripada perawi thiqah, maka beliau ialah seorang yang thiqah.”
Oleh itu, riwayat Baqiyah tidak boleh diterima begitu sahaja melainkan setelah diteliti perawi selepas beliau. Dalam riwayat ini, beliau mengambil hadis ini daripada Muhammad bin Hajjāj. Muhammad bin Hajjāj bukan seorang perawi yang thiqah. Kesimpulannya, riwayat beliau tidak boleh diterima.
Muhammad bin Hajjāj al-Lakhmī al-Wasiṭī ialah seorang perawi yang sering dikritik. Yahya bin Ma’in mengatakan beliau ialah seorang pendusta.[14] Imam al-Bukhari mengatakan beliau sering melakukan kesilapan dalam periwayatan hadis (munkar al-hadith).[15] Al-Daraquṭnī (m. 385 H) menyebut beliau seorang perawi yang sering berdusta.[16]
Jābān juga perawi yang dikritik. Ibn Hajar al-Asqalānī menjelaskan nama sebenar beliau ialah Mūsā bin Jābān. Al-Azdī (m.374 H) menyebut bahawa riwayat beliau ditinggalkan (matruk al-Ḥadīth).[17]
Justeru, hadis ini palsu kerana di dalam sanad hadis ini terdapat tiga orang perawi yang terkenal dengan jenayah pemalsuan hadis iaitu Maysarah bin ‘Abd Rabbih, Sa’īd bin ‘Anbasah al-Rāzī dan Muhammad bin Hajjāj al-Lakhmī. Walaupun Baqiyah bin Walid seorang perawi yang dipercayai namun riwayat beliau menjadi perhatian ulama hadis terutamanya jika beliau meriwayatkan hadis daripada perawi yang bermasalah. Hadis ini beliau riwayatkan daripada Muhammad bin Hajjāj yang merupakan pendusta. Keadaan yang sebegini menyebabkan riwayat beliau tertolak menurut apa yang telah dijelaskan oleh ulama hadis.
Beberapa orang ulama turut menilai hadis ini sebagai hadis palsu antaranya Ibn Ḥātim seperti yang dinukilkan oleh Ibn Abī Ḥātim[18].Ulama daripada kalangan mutaakhirin seperti Imam al-Nawawī (m. 676 H) turut menilai hadis ini sebagai hadis yang palsu bahkan tidak boleh dijadikan hujah.[19]
Walaupun hadis ini palsu, melagakan orang sehingga mencetuskan pergaduhan ialah perkara yang dilarang khususnya ketika berpuasa. Larangan ini dijelaskan secara isyarat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang keji ketika berpuasa, maka Allah tidak berhajat(mengganjari) terhadap puasanya yang meninggalkan makanan dan minuman..”[20]
Justeru, hadis di atas memberi makna bahawa percakapan dan perbuatan keji seperti melagakan orang lain, bercakap kotor dan lain-lain tidak membatalkan namun perkara tersebut menyebabkan seseorang tidak pahala. Imam al-Husayn bin Maḥmūd al-Muzhirī al-Hanafī (m. 727 H) menjelaskan bahawa hadis ini ialah larangan melakukan perbuatan yang keji. Pada masa yang sama, larangan turut diaplikasi kepada ucapan yang buruk. Sesiapa yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah, maka dia telah melanggar perintah Allah.[21]
BACA: Diaju Soalan Allah Buat Apa Sebelum Cipta Alam, Macam Mana Nak Jawab? Ini Penjelasan Mufti
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan