Siakap Keli
Gambar: Bernama

Penjawat Awam Pahang Terima RM1,200 Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

KUANTAN, 13 April (Bernama) — Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,200 diberikan kepada semua 8,000 penjawat awam Pahang sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan dibayar pada 20 April ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, dan melibatkan penjawat awam daripada semua gred dengan peruntukan sebanyak RM9.6 juta.

“Jumlah tersebut meningkat daripada RM1,000 yang diberikan pada tahun lepas dan ini menunjukkan kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan baik, membolehkan kami memberi bantuan kepada mereka bagi membuat persiapan raya.

“Ini juga sebagai menghargai sumbangan dan khidmat penjawat awam di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan awal persekolahan murid tahun satu di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berharap pemberian bantuan itu dapat menyuntik semangat dan motivasi kakitangan awam negeri itu untuk meningkatkan prestasi kerja serta berkhidmat dengan lebih cemerlang bagi kesejahteraan rakyat dan negeri.

Beliau turut menggalakkan badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk membuat pemberian bantuan khas serupa kepada kakitangan mereka, bergantung kepada prestasi kewangan masing-masing.

Mengulas mengenai pemberian sumbangan awal persekolahan, Wan Rosdy berkata bantuan wang tunai RM100 itu melibatkan 25,146 murid darjah satu termasuk dari sekolah rendah tahfiz di negeri itu, dan merupakan sebahagian daripada peruntukan Bantuan Prihatian Pahang (BPP) 2022.

“Senarai penerima adalah daripada data Jabatan Pendidikan negeri dan pemberian dibuat secara automatik. Ini merupakan inisiatif yang telah dimulakan sejak tahun lepas dan dilihat membantu meringankan beban ibu bapa menyediakan peralatan persekolahan,” katanya.

Kerajaan Pahang memperuntukkan RM14.291 juta bagi bantuan pendidikan di bawah BPP 2022 dan selain murid tahun satu, antara penerimanya ialah pelajar tahfiz, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta anak Pahang yang berjaya ke universiti.

Secara keseluruhan, BPP 2022 melibatkan peruntukan sebanyak RM29.91 juta kepada 297,013 penerima bersasar yang akan disalurkan mulai bulan ini hingga Julai depan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.