Pandemik COVID-19 telah banyak menggendalakan kehidupan sehari-hari. Sama ada dari segi pelbagai kesan buruk terhadap seseorang, misalnya gangguan pada pola tidur, tabiat makan dan kesihatan mental ataupun perubahan besar yang menjejaskan orang ramai, seperti yang dialami oleh sektor pendidikan, pekerjaan dan kesihatan awam, kehidupan kita ini tidak lagi seperti dahulu.
Kanak-kanak terpaksa menghadapi dugaan emosi, sosial dan akademik yang menghalang kemajuan mereka.
Hak menghadiri sekolah dan belajar amat penting bagi perkembangan setiap kanak-kanak. Sekolah membuka jalan ke dunia yang dipenuhi peluang menikmati masa depan yang lebih cerah.
Di situ juga terciptanya kenangan manis zaman persekolahan. Anda masih ingat permainan kita pada waktu rehat dan selepas waktu sekolah? Tingting, perlawanan pemadam, congkak, galah panjang dan macam-macam lagi? Konsert, hari sukan, sesi bergambar sekelas dan majlis makan hujung tahun semuanya sangat istimewa dan sangat dinanti-nantikan oleh setiap kanak-kanak.
Sayangnya, sudah hampir 2 tahun anak-anak kita tidak menghadiri sekolah seperti biasa dan tidak dapat mencipta kenangan manis.
Setakat 31 Mac 2022, 97.6% orang dewasa dan 91.7% remaja di Malaysia telah menjalani vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.
Dengan adanya langkah-langkah pencegahan yang tegas dan pelaksanaan vaksinasi COVID-19 yang pantas, kehidupan kita seolah-olahnya kembali cergas menurut norma baharu. Ibu bapa kini mula menghantar balik anak-anak mereka ke tadika, taska dan sekolah.
Walaupun bukan semua kanak-kanak layak menerima vaksinasi COVID-19 pada masa ini, namun kita mesti mengambil langkah waspada terhadap penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, misalnya cacar air.
Bahaya yang tidak diketahui

Cacar air disebabkan oleh virus varicella-zoster. Virus ini sangat mudah berjangkit dan merebak dengan senang dalam kalangan kanak-kanak kecil melalui air liur, hingus dan sentuhan dengan cecair daripada lepuh.
Simptomnya yang klasik ialah ruam yang bertukar kepada lepuh-lepuh berisi cecair yang terasa gatal dan akhirnya menjadi keruping.
Antara simptomnya yang lain ialah demam, rasa letih, sakit kepala dan hilang selera makan. Luka berulser juga boleh terbentuk pada membran mukus di dalam mulut dan kemaluan kanak-kanak lalu menyebabkan dia enggan makan minum atau terasa sakit ketika membuang air.
Pada masa yang lepas, ada ibu bapa yang menghadiri “majlis cacar air” kerana sengaja hendak mendedahkan anak mereka yang tidak divaksin kepada kanak-kanak yang menghidap cacar air supaya anak mereka juga terjangkit. Sebenarnya cara begini merbahaya dan kita tidak dapat meramalkan berapa teruknya simptom yang akan dialami oleh anak anda itu.
Cacar air seringkali dianggap sebagai “jangkitan yang tidak merbahaya” yang mesti dilalui oleh semua kanak-kanak supaya dapat memperoleh daya imun. Anggapan ini tidak hanya salah tetapi juga membahayakan kesihatan kanak-kanak.
Cacar air boleh mengakibatkan komplikasi yang begitu merbahaya sehinggakan pesakitnya terpaksa dimasukkan ke hospital, malah boleh membawa maut.
Menggaru-garu lukanya yang terasa gatal itu, contohnya, boleh menyebabkan jangkitan sekunder bakteria pada kulit dan tisu lembut. Penting diambil maklum bahawa kanak-kanak yang menghidap ekzema atau dermatitis boleh mengalami simptom yang serius pada kulit apabila mereka mendapat cacar air.
Selain jangkitan sekunder bakteria pada kulit dan tisu lembut, cacar air juga boleh menyebabkan jangkitan paru-paru (pneumonia ), radang otak (ensefalitis, ataksia serebelum) dan jangkitan pada hati (hepatitis).
Virus ini kekal di dalam badan anda
Virus varicella zoster kekal di dalam badan anda setelah anda terjangkit. Virus ini berada dalam keadaan tidak aktif di dalam saraf tunjang anda. Selepas beberapa lama, apabila sistem keimunan anda menjadi semakin lemah disebabkan peningkatan usia atau tekanan emosi, virus ini boleh aktif semula untuk menyebabkan jangkitan kayap yang sangat menyakitkan.
Kayap muncul sebagai rasa sakit dan ruam yang pedih atau menggelenyar berserta lepuh-lepuh yang boleh berlarutan sehingga 5 minggu. Setelah ruam ini hilang, anda mungkin terpaksa hidup dengan rasa sakit yang berterusan (neuralgia pascaherpetik).
Lepuh yang berhampiran atau yang di dalam mata boleh merosakkan atau membutakan mata dengan kekal. Masalah hilang pendengaran, muka yang lumpuh sekejap atau, jarang-jarang sekali, otak yang bengkak (ensefalitis) juga boleh berlaku.
Gangguan yang tidak diundang
Pada ketika kita mula memberanikan diri untuk keluar semula dari rumah menurut norma baharu, jangkitan seperti cacar air tidak hanya boleh membahayakan anak anda tetapi juga akan mengganggu perjalanan aktiviti harian seluruh rumah.
Kanak-kanak yang mendapat cacar air tidak dibenarkan hadir di sekolah atau tadika sehinggalah bintik-bintik pada badannya berkeruping semuanya, iaitu biasanya kira-kira 5 hari selepas bintik-bintik itu muncul.
Kanak-kanak lain, malah orang dewasa pun, yang duduk serumah dan belum lagi memperoleh imuniti terhadap cacar air juga boleh terjangkit. Orang dewasa, wanita hamil dan bayi berisiko mendapat cacar air yang lebih teruk dan kadar kejadian komplikasinya juga lebih tinggi bagi golongan ini.
Anda mungkin kelam-kabut menguruskan kerja dan tanggungjawab sehari-hari selain menjaga anak anda yang kurang sihat, apatah lagi tekanan emosi yang mungkin anda hadapi kerana melihat anak anda yang sedang menderita.
Bagaimanakah cara saya melindungi anak saya daripada cacar air?
Sama seperti kebanyakan penyakit berjangkit, anda boleh mencegah cacar air dengan amalan kebersihan seperti membasuh tangan dengan baik dan menjauhi orang yang terjangkit.
Walau bagaimanapun, penting diketahui bahawa selepas seseorang itu terdedah kepada cacar air atau kayap, dia hanya akan mendapat penyakit itu selepas kira-kira 2 minggu. Orang itu sudah terjangkit dan boleh menjangkiti orang lain pula walaupun sebelum munculnya ruam. Maksudnya, orang yang menghidap cacar air sebenarnya tidak dapat ditentukan.
Vaksinasi cacar air mampu mencegah cacar air. Sesetengah orang yang sudah divaksinasi terhadap cacar air masih boleh mendapat penyakit ini, tetapi simptom cacar air biasanya lebih ringan baginya, berserta kurang banyak lepuh atau tanpa lepuh (bintik-bintik merah sahaja) dan demam yang ringan atau tanpa demam.
Vaksinasi cacar air juga mampu menghalang komplikasi cacar air yang begitu serius sehinggakan pesakitnya terpaksa dimasukkan ke hospital.
Ringankan beban kebimbangan anda dan tanyalah doktor tentang cara melindungi anak anda daripada cacar air hari ini.
Immunise2Protect ialah kempen di bawah naungan Immunise4Life yang menimbulkan kesedaran tentang 2 penyakit zaman kanak-kanak yang lazim dihidapi tetapi diremehkan, iaitu rotavirus dan cacar air. Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya, lihat immunise2protect.ifl.my
Immunise2Protect mempersembahkan BEAT THE POX yang direka untuk kanak-kanak dan ibu bapa! Sertai Amy dalam 2 pengembaraannya yang menarik dan belajar tentang cacar air dengan cara yang menyeronokkan. Lengkapkan kedua-dua permainan untuk mendapat sesuatu yang tidak disangka. Imbas untuk bermain!