Satu perkhidmatan tren ekspres khas ke Pantai Timur bersempena Aidilfitiri yang dikenali sebagai Ekspress Khas Keluarga Malaysia akan diperkenalkan dan mula beroperasi pada 29 April ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi kenyataan memaklumkan, perkhidmatan tersebut akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur yang bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.
Difahamkan, sebanyak 516 tiket perjalanan akan ditawarkan kepada pengguna untuk perkhidmatan tersebut.
“Inisiatif ini merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia dan KTBM dengan membawa slogan ‘Maghi Kelik Kampung’ sebagai salah satu pengangkutan alternatif untuk mereka yang akan pulang berhari raya di kampung dengan selamat, selesa serta tambang yang berpatutan.
“Tren ini akan berlepas pada 29 April, jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.
“Perkhidmatan ini dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3:55 petang. Manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10:50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3:04 petang,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tren khas tersebut adalah perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan keselesaan dan menjimatkan masa.
“Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan kos chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.
“Tiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.
“Cenderahati khas juga akan diberikan kepada para penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini,” katanya, memetik kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong pernah menjelaskan, kadar kesesakan jalan raya yang bakal dihadapi warga Pantai Timur dijangka mengalami pertambahan trafik yang drastik.
Difahamkan, hal ini adalah kerana mereka sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya ke kampung berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Oleh itu dengan adanya perkhidmatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya, memetik kenyataan KTMB.
Perkhidmatan tren ETS tambahan sempena Aidilfitri
Dalam pada itu, KTMB juga turut menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan dengan 4,368 tiket disediakan.
“Ia melibatkan perjalanan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.
“Perkhidmatan tambahan ini adalah berikutan status jualan tiket yang telah habis dijual bagi tarikh-tarikh yang dinyatakan.
“Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April,” tambah kenyataan tersebut.
Justeru, para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dirujuk melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.
Sumber: KTMB