Thailand – Seorang lelaki dilaporkan maut selepas ditembak pada jarak dekat sebanyak enam das oleh rakannya sendiri dalam kejadian yang berlaku di Jalan Prachacuen, daerah Bang Sue.
Memetik laporan Utusan Tv, mangsa, 53, yang bekerja sebagai pemandu motosikal sewa disahkan maut di tempat kejadian.
Menerusi rakaman CCTV yang tular, suspek 44, dilihat memanggil mangsa yang sedang menunggang motosikal.
Mangsa kemudian bertindak berpatah balik untuk berjumpa dengan suspek di tepi jalan.
Mereka dilihat berbual mengenai sesuatu dan ketika itu suspek bertanya kepada mangsa dalam nada yang tinggi sebelum bertindak mengeluarkan pistol lalu menembak mangsa bertubi-tubi.
Difahamkan, mangsa dan suspek pernah menjadi rakan baik sebelum ini termasuk membuka kios menjual ayam bersama.
Selepas insiden tembakan itu, suspek yang mempunyai masalah alkohol dikatakan telah melarikan diri dengan pulang ke rumah ibunya yang terletak di daerah Sai Mai.
Bagaimanapun, ibunya dikatakan telah memujuknya supaya menyerah diri.
Sementara itu, hasil siasatan polis mendapati bahawa suspek telah menggunakan pistol jenis .22 revolver yang dibeli pada harga 7,000 baht (RM880) dan telah dibawa bersamanya sejak lima bulan lalu.
Suspek kini sudah ditahan oleh pihak polis dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Utusan TV