Siakap Keli
basikal lajak lekas
Gambar via Facebook

Kanak-kanak Tunggang Basikal Lajak Secara Berbahaya Di Lekas, Video Lama – Polis

SEREMBAN, 16 April (Bernama) — Polis menjelaskan video tular berdurasi 44 saat di laman sosial Facebook yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) hari ini, merupakan video lama.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata semakan mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pada September 2019 sekitar pukul 1 tengah hari di Kilometer (KM) 39 hingga KM 40 di lebuh raya berkenaan.

“Kejadian yang berlaku berhampiran susur masuk ke arah Ampangan di sini itu, menunjukkan kira-kira 10 kanak-kanak menunggang basikal lajak dengan membuat aksi berbahaya.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban sering menjalankan penguatkuasaan serta pemantauan di lokasi kegiatan basikal lajak dan hasilnya kegiatan ini semakin berkurangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan lalu lintas termasuk aktiviti basikal lajak mengikut Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59, dengan basikal ditunggang perlu dipasang lampu hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah yang boleh dilihat dalam jarak munasabah.

Katanya menerusi Kaedah 42(1) LN165/59 pula, tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar dan loceng.

Nanda berkata tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas ibu bapa dan penjaga mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan anak-anak tanpa pengawasan berpatutan, yang boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Eyla Azri