Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menjangkakan jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini akan meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat memandangkan ramai yang akan pulang beraya di kampung tahun ini memandangkan sudah 2 tahun aktiviti berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
“Bila balik raya nanti akan berjumpa dan bergaul antara saudara mara tanpa memakai pelitup muka, memang ada risikonya tetapi pihak KKM sudah bersiap sedia merawat,” katanya dalam satu sidang media yang bersiaran langsung dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Oleh itu katanya, ia menjadi alasan utama kenapa beliau menyeru terutamanya warga emas agar segera mendapatkan dos penggalak. Malah, KKM sebelum ini turut mengumumkan bahawa mana-mana warga emas yang sudahpun mendapatkan dos penggalak dan mempunyai penyakit serius, mereka boleh mendapatkan dos keempat.
Bagaimanapun katanya, ia bukan satu paksaan kepada mana pihak namun pilihan itu ada ditawarkan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menasihati orang ramai supaya mereka yang merayakan Aidilfitri untuk elakkan bersalaman dan basuh tangan di setiap rumah yang dikunjungi.
KJ jangka kes COVID-19 meningkat selepas sambutan Aidilfitri#AWANInews pic.twitter.com/0lMtmSQM9T
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) April 16, 2022
https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/videos/659781011986860
Dalam perkembangan terkini jangkitan COVID-19, BERNAMA dalam satu laporannya sebentar tadi memaklumkan sebanyak 9,673 kes baharu telah dicatatkan semalam. Daripada jumlah berkenaan, 99.5 peratus merupakan jangkitan Kategori 1 dan 2, manakala 0.5 peratus melibatkan Kategori 3, 4 dan 5.
Pertambahan kes baharu tersebut menjadikan kes kumulatif COVID-19 yang dicatatkan negara setakat ini adalah 4,372,697 kes. Selain itu, lapan kluster baharu turut dilaporkan semalam menjadikan kes kluster aktif setakat ini adalah 116 kluster.
Sumber: KKM, Astro Awani