Sperma yang sihat adalah satu ‘bahan’ yang penting bagi mana-mana lelaki dan pasangannya untuk menimang cahaya mata. Dianggarkan, kira-kira 10 peratus lelaki, dilapor menghadapi masalah kesuburan, di mana sperma tidak sihat sering dipersalahkan.
Bertentangan dengan kepercayaan ramai, lelaki yang menghadapi masalah kesuburan sebenarnya masih menghasilkan sperma yang sihat. Bagaimanapun, jumlah sperma sihat yang dihasilkan adalah sedikit dan menyukarkan pasangan untuk hamil.
Bagi menyelesaikan masalah ini, kaedah persenyawaan in vitro (IVF) telah diperkenalkan dalam dunia perubatan. Tetapi teknologi ini memerlukan pakar mengasingkan sperma yang sihat daripada sperma yang tidak sihat sebelum prosedur IVF boleh dilaksanakan. Malangnya, proses pengasingan ini sering menyebabkan sperma yang sihat mengalami kerosakan dan sekaligus menyebabkan prosedur IVF tidak mendatangkan hasil.
Bagaimanapun, baru-baru ini sekumpulan penyelidik daripada Universiti Atlantik Florida dilapor menemui penyelesaian kepada masalah tersebut. Mereka berjaya menghasilkan satu alat yang mampu mengasingkan sperma sihat daripada sperma tidak sihat dengan mudah. Lebih menarik, alat berkenaan mampu dihasilkan dengan kos serendah USD 5 (RM 21) sahaja.
Menurut Waseem Asghar, Penyelidik Senior, alat yang direka itu akan membenarkan sperma sihat mengasingkan ‘dirinya’ sendiri, berbanding kaedah konvensional.
Untuk menuju kepada telur yang dikeluarkan wanita ketika proses persenyawaan, sperma yang sihat akan ‘berenang’ menongkah arus muskus cervical dan proses ini digelar rheotaxis. Manakala sperma yang tidak sihat, kebiasaanya tidak berupaya untuk ‘berenang’ menentang arus berkenaan.
Jadi, dengan mengambil manfaat daripada proses semula jadi ini, mereka menghasilkan satu alatan dengan arus cecair 0.5 μL (mikroliter) per minit (meniru arus muskus cervical) dan satu tabung untuk mengutip sperma sihat.
”Ia amat senang untuk mengendalikan alatan yang kami cipta ini. Apabila semen telah dimasukkan ke bahagian tabung sampel, sperma yang sihat kemudian akan mula berenang menentang arus yang ada. Sperma ini kemudian akan memasuki ruang pengumpulan dan boleh dikutip.”katanya
Keupayaan sperma untuk bergerak bukan sahaja penting untuk ‘memandu’ sperma menuju ke arah telur, malah ia juga berfungsi untuk membantu sperma menembusi zona pellucida, satu lapisan yang mengelilingi telur. Para penyelidik mendapati, sperma yang diasing menggunakan peralatan yang dicipta itu mempunyai keupayaan untuk bergerak hampir 100 peratus lebih baik daripada kaedah-kaedah lain. Malah, sperma yang dikutip melalui alat ini juga mempunyai kebarangkalian persenyawaan sebanyak 61 peratus.
Mengulas lanjut, mereka berharap dengan penciptaan alat ini, ia mampu mengurangkan kos untuk pasangan-pasangan di luar sana bagi menjalani proses IVF.
Sumber: Big Think