Seekor ikan lumba-lumba yang terdampar sakit di Pantai Quintana, Texas baru-baru ini mati selepas pengunjung pantai cuba ‘menunggangnya’ untuk berenang bersama, lapor Metro UK.
Menurut badan bukan kerajaan (NGO) Texas Marine Mammal Stranding Network (TMMSN), pada awalnya pihaknya menerima laporan daripada pengunjung mengenai seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di pantai tersebut.
Kemunculan ikan lumba-lumba yang terdampar ke pantai berkenaan secara tidak sengaja telah menarik perhatian ramai, terutamanya pengunjung pantai di sekitar lokasi kejadian.
Menurut laporan, dikatakan ikan lumba-lumba yang terdampar itu terus diganggu oleh orang ramai termasuklah ditolak ke arah laut untuk ditunggangi mereka.
Walau bagaimanapun, ikan malang itu akhirnya mati sebelum pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian ketika itu.
Menurut TMMSN, tindakan pengunjung pantai tersebut yang menolak dan menunggangi mamalia betina itu merupakan satu perlakuan yang tidak sepatutnya berlaku.
BACA JUGA: Puluhan Bangkai Naga Laut Terdampar Di Pantai
“Gangguan sebegini menyebabkan tekanan kepada ikan lumba-lumba liar dan berbahaya bagi orang untuk berinteraksi dengan mereka serta perkara ini menyalahi undang-undang.
“Pesalah boleh didenda dan dihukum penjara, jika sabit kesalahan,” maklum NGO itu, memetik Metro UK.
Dalam pada itu, TMMSN turut bertegas mengenai tindakan sepatutnya yang perlu dibuat orang awam sekiranya kejadian tersebut berulang lagi.
“Sekiranya ikan lumba-lumba atau ikan paus terdampar di Texas, jangan tolak haiwan itu kembali semula ke laut, jangan cuba berenang atau berinteraksi dengan mereka dan jangan mengerumuni mereka.
“Sebaliknya, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi kami pada masa akan datang,” tambah NGO itu lagi.
Dalam pada itu, TMMSN turut mendedahkan foto suasana orang ramai yang mengelilingi mamalia betina itu di kawasan cetek sehingga menampakkan siripnya di atas permukaan air.
Sementara itu, ahli biologi Marin Texas A&M University di Galveston, Dr. Christopher Marshall berkata, dalam kes tersebut, ia adalah contoh yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Haiwan itu mungkin berada di ambang tekanan sehingga membuatnya terbunuh,” katanya.
Sementara itu, Pentadbiran Perikanan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan US turut memuat naik kenyataan pada halaman mereka mengenai kejadian itu.
Jelas mereka, perlakuan mengganggu dan memberi makan kepada haiwan liar seperti ikan lumba-lumba, ikan paus, anjing laut dan singa laut adalah menyalahi undang-undang.
“Untuk keselamatan anda, jangan memberi makan, menganggu atau berenang bersama haiwan marin. Kami menggalakkan anda untuk memerhatikannya dari jarak sekurang-kurangnya 150 kaki,” maklum agensi itu.
Sumber: Metro UK