Kembara masa atau disebut sebagai time travel ke dunia lain mungkin tidak mustahil boleh dilakukan satu masa nanti, lapor Daily Star.
Lebih daripada 1,500 muka surat dokumen telah diterbitkan bagi memberi penerangan mengenai Program Kerja Rahsia Pentagon mengenai mahluk asing dan masa depan di angkasa lepas.
Menurut dokumen yang dikeluarkan Pentagon itu, pengembaraan masa dan teknologi anti-graviti dijangka boleh dicapai oleh manusia, sekaligus mampu mencipta penemuan baru tentang dunia lain.
Merujuk Daily Star, dokumen setebal 1,500 halaman yang mengambil masa lima tahun untuk diluluskan itu dibentangkan dalam Program Pengenalpastian Ancaman Penerbangan Lanjutan (AATIP) yang merupakan Program Rahsia UFO Pentagon.
Difahamkan, salah satu kandungan dokumen tersebut menjelaskan, teknologi anti-graviti boleh digunakan untuk membuat kapal angkasa.
Dikatakan juga, dengan adanya daya anti-graviti, manusia dapat memanipulasi ruang waktu dengan mudah.

Sementara itu, terdapat juga pandangan mengenai cara untuk mengawal graviti dan mungkin akan menghasilkan fenomena eksotik seperti perjalanan pantas melebihi kelajuan cahaya.
Selain itu, “wormhole” atau turut dikenali sebagai lubang cacing dalam ruang masa juga boleh digunakan untuk perjalanan antara bintang dan galaksi.
Hal ini turut termasuklah dalam rancangan untuk menghantar beberapa kapal angkasa untuk dikendalikan oleh seorang juruterbang bagi menerokai angkasa lepas.
Ia juga turut bersama-sama dengan kajian tentang bagaimana manusia boleh mengendalikan robot dan fikiran mereka.
Walau bagaimanapun, seseorang hanya boleh mengawal empat kapal angkasa semasa misi dijalankan dalam satu-satu masa, menurut dokumen itu.
Dalam pada itu, dokumen itu juga turut menyatakan tentang cara manusia boleh berkomunikasi dengan makhluk asing.
Malah satu kajian tentang kesan kesihatan mana-mana individu yang pernah bertemu dengan makhluk asing atau melihat UFO juga turut dinyatakan.

Difahamkan, dokumen yang dihasilkan itu juga telah disifatkan sebagai “bom” dan telah dikeluarkan oleh Agensi Perisikan Pertahanan Amerika Syarikat.
Imbas kembali, AATIP telah dijalankan selama lima tahun dari 2007 dan diketuai oleh Luis Elizondo, individu yang percaya bahawa UFO terbukti sebenarnya wujud.
Sumber: Daily Star