Tidak dapat dinafikan, umat Islam khususnya di Malaysia sudahpun membuat persediaan awal untuk menyambut Aidilfitri. Setelah dua tahun ‘diperam’ di dalam rumah, tidak dapat meraikan hari lebaran semeriah sebelum zaman Covid-19, rata-rata memang tidak sabar menunggu ketibaan hari raya pada tahun ini.
Walaupun begitu, dengan situasi semasa negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, ramai juga yang memilih untuk berbelanja secara atas talian, bagi memastikan diri dan keluarga ‘tidak tewas’ dengan wabak berkenaan.
Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya, bagaimana dengan status barang yang dihantar melalui khidmat kurier menjelang hari lebaran ini, adakah akan tiba di tangan pelanggan sebelum 1 Syawal atau sebaliknya? Bila tarikh terkahir untuk orang awam dan juga peniaga membuat penghantaran?
Bagi menjawab persoalan tersebut, Pos Malaysia tampil mengeluarkan tarikh terakhir yang disyorkan untuk para pelanggannya membuat pengeposan bagi memastikan barang yang dipos tiba sebelum Aidilfitri.
Menurut Pos Malaysia, mereka mengesyorkan 25 April untuk destinasi penghantaran Semenanjung Malaysia – Malaysia Timur, Malaysia Timur – Semenanjung Malaysia dan Dalam Malaysia Timur.
Manakala, mereka turut mengesyorkan 27 April bagi destinasi penghantaran Dalam Semenanjung Malaysia.
Justeru, bagi mereka yang membuat pengeposan selepas tarikh yang disyorkan diatas, barang-barang tersebut hanya akan dihantar selepas Aidilfitri bermula 5 Mei.
Mengambil kira tarikh hari ini iaitu 19 April, bermakna masih berbaki kira-kira 8 hari lagi untuk orang ramai, khususnya peniaga menghantar barang masing-masing dan memastikan barang tersebut tiba di tangan penerima sebelum Aidilfitri, sekiranya merancang untuk menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia.
Diharapkan, dengan makluman awal oleh Pos Malaysia ini, orang ramai dapat membuat persediaan awal supaya hari lebaran yang bakal tiba dalam 2 minggu lagi dapat disambut tanpa sebarang cacat cela.
BACA: Tiket Bas Balik Raya Laris Bak Pisang Goreng Panas
Sumber: Pos Malysia