Siakap Keli
semenanjung gaza
Gambar: AFP

Israel Lancar Serangan Udara Di Semenanjung Gaza

Israel dilaporkan telah melancarkan serangan udara pertamanya di Semenanjung Gaza pada awal Selasa yang didakwa sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan dari kawasan Palestin ketika ketegangan memuncak.

Memetik laporan AFP, siren amaran telah dibunyikan di selatan Israel pada Isnin selepas roket itu dilepaskan dari kawasan yang dikawal oleh kumpulan pejuang Islam, Hamas.

Ia merupakan kejadian pertama seumpama itu sejak awal Januari.

Difahamkan, peluru itu telah terhempas ke dalam laut di luar Tel Aviv.

“Satu roket telah ditembak dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel, roket itu telah dipintas oleh Iron Dome Air Defense System,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Beberapa jam kemudian, tentera udara Israel berkata mereka menyerang tapak pembuatan senjata Hamas sebagai tindak balas.

Sementara itu, Hamas pula mendakwa telah menggunakan ‘pertahanan anti-pesawat’ untuk menentang serangan udara yang tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Insiden itu berlaku selepas pergolakan antara rakyat Palestin dan tentera Israel di sekitar perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis yang telah mencederakan lebih 170 orang.

Sumber diplomatik berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan membincangkan mengenai insiden tersebut pada Selasa.

Dalam pada itu, kerajaan Jordan pada Isnin lalu memanggil pihak berkuasa Israel untuk menyampaikan mesej bantahan terhadap pencabulan haram dan provokatif Israel di Masjid Al-Aqsa.

Negara itu berfungsi sebagai penjaga tempat suci di timur Baitulmaqdis, termasuk Kota Lama yang diduduki Israel pada tahun 1967.

Sumber: AFP

Sofea

There's always another side to every story