Siakap Keli

Ada Tahanan Rohingya Jalan Kaki Tanpa Kasut Lebih Dua Jam Sebelum Ditangkap – Saksi

NIBONG TEBAL, 20 April – Ratusan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap awal pagi ini dilihat sanggup berjalan lebih dua jam tanpa memakai kasut, demikian menurut saksi.

Menceritakan detik itu, saksi yang ingin dikenali sebagai Nathan, 48, berkata beliau tiba di ladang sawit miliknya setelah dimaklumkan oleh pekerjanya yang tinggal di dalam ladang berkenaan bahawa kelihatan ramai warga asing itu bergerak menuju ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari depot untuk melarikan diri.

“Memang nampak semua warga asing itu berjalan dengan laju, dan ada yang berlari menyelusuri kawasan sini. Saya sempat bertanyakan kepada mereka dan seorang lelaki Rohingya maklumkan yang kumpulan itu termasuk ramai kanak-kanak telah berjalan lebih dua jam dari depot tahanan.

“Saya nampak mereka berjalan tanpa sebarang kasut kerana mahu larikan diri, malah ada yang kakinya cedera sebab pijak bermacam-macam sepanjang berjalan di dalam hutan serta semak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan turut memberitahu bahawa mereka tertekan susulan telah ditahan lama di depot berkenaan.

Seorang lagi saksi Muhamad Nursyamsuddin Che Adni, 29, yang tinggal berdekatan dengan depot itu berkata beliau dan empat rakannya mengambil inisiatif dengan tampil membantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengejar tahanan yang melarikan diri dan berjaya menahan beberapa individu.

“Kami juga (sempat) menjerit kepada mereka yang berlari ke arah lebuh raya supaya tidak melintas namun tidak dihiraukan sebelum enam daripadanya dilanggar kenderaan lebih kurang pukul 6 pagi,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di depot berkenaan mendapati terdapat banyak van imigresen yang memasuki kawasan berkenaan, dipercayai untuk menghantar tahanan yang telah berjaya ditangkap semula.

Pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis DiRaja Malaysia juga turut dilihat membuat pemeriksaan di kawasan ladang sawit serta hutan berhampiran, kerana ada kemungkinan terdapat tahanan yang masih bersembunyi di kawasan itu.

Di KEDAH, Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenan berharap kerajaan mencari penyelesaian berhubung pelarian Rohingya.

Menurutnya ini kerana kebanyakan mereka telah ditempatkan di depot tahanan bagi tempoh yang terlalu lama.

“Mereka sudah ditahan lama sangat, jadi mesti mereka mahu bebas. Ada antara mereka yang ditahan mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kenapa tidak dibebaskan?” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap kira-kira pukul 4.30 pagi tadi, dan setakat 8 malam ini 351 pelarian berjaya ditahan semula dan polis masih melancarkan gerakan mencari mereka yang masih bebas.

Sementara itu enam lagi maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi di Kilometer 168 Lebuh Raya PLUS menghala selatan berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.