Antara syarat buat kuih raya, janganlah anda sesekali menggunakan tong cat sebagai bekas untuk membungkus atau menyimpan stok.
Lebih kurang dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, dalam masa sama Ramadan akan menutup tirainya dan pergi meninggalkan kita semua.
Dalam kita bersedih kerana Ramadan akan pergi, persiapan raya juga perlu dibuat untuk meraikan kemenangan berpuasa selama sebulan.
Selain lemang, ketupat, rendang dan juadah ‘berat’ yang lain, kuih atau biskut raya juga hidangan wajib yang perlu ada di pagi hari raya.
Antara kuih dan biskut raya yang cukup terkenal semasa hari raya adalah seperti suji, semperit, tart nanas, Almond London serta kerepek-kerepek dan banyak lagi kuih raya yang lain.
Namun tahukah anda, dalam pembuatan kuih raya juga terdapat beberapa ‘syarat’ untuk menjamin keselamatan dan kebersihannya sebelum dihidang kepada tetamu nanti.
Mengeksplorasi laman Facebook milik Pegawai Teknologi Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), Sazly Tulih, beliau kongsikan syarat yang perlu diambil kira sebelum kita mula buat kuih raya.
Ikuti perkongsian beliau di bawah, semoga bermanfaat.
‘Syarat sah’ buat kuih raya

Tutup kejap kisah bazar Ramadan. Tak lama lagi menjelang Syawal. Mesti ramai dah order kuih raya tunjuk tunjuk, tak pun tekan tekan kat dalam handphone.
Tak kurang juga, ada yang dahulunya turut membeli, sekarang dah cuba-cuba membuat sendiri kuih raya.. Maklumlah dah ada thermomix.
Baling je ramuan dalam benda alah tu, pastu siap.
Tapi tahukah anda, syarat sah membuat kuih raya ni, walaupun bukan untuk jualan. Saya share kat sini sikit ya.
Syarat-syaratnya adalah pengendali makanan perlu memakai apron dan tutup kepala. Nanti rambut segumpal pulak masuk dalam kuih sarang semut kita.
Selain itu, pemprosesan kuih raya perlu dilakukan di atas meja dan bukan di lantai, risau habuk atau kotoran dari lantai masuk ke dalam kuih.
Dalam pada itu, kita perlu kurung kucing, kura-kura, burung nuri dan haiwan ternakan atau peliharaan semasa membuat kuih raya. Tidak kurang juga, cucilah tangan sebelum mulakan kerja-kerja membuat kuih raya.
Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menggunakan surat khabar untuk lapik, alas, tos atau tutup kuih raya. Jangan sama sekali gunakan tong cat atau apa jua peralatan atau perkakas yang bukan gred makanan untuk dijadikan sebagai pembungkus.
Kita juga tidak dibenarkan menggunakan bahan mentah yang telah rosak, tidak berkualiti atau sudah melepasi tarikh luput.
Simpan bahan mentah dan produk yang telah siap di atas rak atau meja dan susun dengan sempurna. Untuk menjamin kebersihan kuih, pakailah sarung tangan semasa menyusun kuih dalam bekas simpanan.
Akhir sekali, jangan termakan kuih raya kononnya nak merasa di siang hari (ketika berpuasa pada siang Ramadan), semoga tips ini memberi manfaat kepada semua.

Sumber: Sazly Tulih