Siakap Keli
makanan masin tembak
Gambar: Daily Star

Berang Makanan Masin Dan Kena Tunggu Lama, Lelaki Nekad Tembak Tukang Masak

ITALI – Seorang lelaki nekad tembak tukang masak kerana tidak berpuas hati makanan yang diterimanya berasa masin.

Menurut laporan Daily Star, lelaki berusia 29 tahun itu mendapati makanan yang dipesannya, iaitu sebiji kebab berasa terlalu masin lalu memutuskan untuk melepaskan tembakan ke arah tukang masak tersebut sebanyak 4 das.

Lelaki itu turut tidak berpuas hati kerana tukang masak berkenaan mengambil masa yang lama untuk menyediakan pesanannya.

Insiden itu sempat terakam kamera litar tertutup (CCTV), di mana suspek dilaporkan menunggu di meja luar restoran berkenaan yang terletak di kota Pescara.

Suspek kemudiannya masuk ke dalam restoran dan bertengkar sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa.

Suspek dikatakan sempat melarikan diri menggunakan teksi namun pemandu teksi bertindak melaporkan perbuatan suspek kepada pihak polis.

Pihak polis menemui sepucuk pistol separa automatik ketika menggeledah suspek dan dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian penembakan itu.

Menurut laporan media tempatan, suspek merupakan individu kurang upaya yang mengalami kecederaan otak yang serius akibat kemalangan ketika dia berusia 19 tahun.

Jelas peguam yang membela suspek, Florenzo Coletti, anak guamnya sering membawa senjata kerana dia selalu diejek tentang keadaanya.

Lelaki tersebut ditahan atas kesalahan cubaan membunuh dan memiliki senjata api secara haram.

Sementara itu, mangsa, seorang tukang masak berusia 23 tahun perlu menjalani pembedahan dan disahkan cedera parah akibat tembakan berkenaan.

“Saya fikir saya akan mati tak lama lagi dan saya banyak berdoa kepada Tuhan.

“Saya tidak tahu apa yang mencetuskan kemarahannya, dia datang dua hari sebelum ini untuk makan dan saya tidak mengenalinya,” kata mangsa.

Sumber: Daily Star

Eyla Azri