Siakap Keli

JAKIM Saran Umat Islam Baca Doa Qunut Nazilah Semasa Solat Witir Khas Untuk Palestin Mulai Malam Ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru kepada umat Islam agar melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan JAKIM melaksanakan inisiatif ini melalui masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa solat sunat witir setiap malam bermula malam ini khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin.

“JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia untuk turut sama mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.”

Selain itu, JAKIM juga menyeru seluruh keluarga Malaysia untuk sama-sama berdoa agar negara Malaysia sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera.

Seperti mana yang kita tahu bahawa konflik di Palestin telah berlangsung sejak sekian lama. Terbaru, Masjidil Aqsa telah diceroboh oleh Israel dalam keadaan umat Islam sedang memberi tumpuan untuk beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini.

Menurut laporan media, pencerobohan itu berlaku ketika warga Palestin memenuhi masjid ketiga paling suci dalam Islam itu untuk beribadah di bulan Ramadan. Pencerobohan berkenaan menyaksikan ratusan umat Islam dilapor mengalami kecederaan.

Selain itu, tentera Israel juga dilapor melancarkan serangan roket ke atas beberapa kawasan di sekitar Gaza beberapa hari lalu. Serangan itu didakwa menyasarkan kemudahan tentera milik Hamas.

Sumber: Kenyataan Media JAKIM

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.