Umat Islam yang ketika ini sedang berpuasa kini memasuki minggu-minggu terakhir Ramadan. Sungguh, terasa begitu sekejap masa berlalu. Tentunya, dalam kita semua bersedia untuk berpisah dengan Ramadan dan menyambut ketibaan Syawal, usahlah dilupakan dengan satu malam yang istimewa, lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatul Qadr, yang ada pada 10 malam terakhir bulan mulia ini.
Istimewanya pada malam ini, segala amal ibadah yang dilaksanakan akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda. Jadi, ianya satu kerugian jika umat Islam terleka dan terlepas malam ini.
Bagaimanapun, sudah tentu timbul pertanyaan, bagaimana kita hendak bertemu dengan malam ini? Bilakah ia berlaku? Adakah ada kaedah tertentu untuk menentukan malam mulia ini?
Justeru, bagi mencari jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan berikut, kami bawakan perkongsian yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan di bawah. Semoga bermanfaat untuk semua.
Bagaimana cara mendapatkan malam Lailatul Qadr?
Mari kita ikuti penjelasan daripada Mufti Negeri Sembilan tentang kaedah untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr. Semoga penerangan di bawah ini memberi manfaat kepada kita semua khususnya buat umat Islam.
Ulamak berselisih pendapat tentang bilakah malam ini berlaku. Di dalam Kitab Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari menyebutkan ada 46 pendapat ulamak berhubung bilakah berlakunya Lailatul Qadr.
Ada yang menyatakan ianya berlaku setiap 7 tahun sekali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Hanifah, ada yang menyatakan ianya berlaku pada setiap bulan, ada yang menyatakan ianya berlaku pada awal Ramadhan, sebahagian lagi mengatakan ianya berlaku pada setengah bulan Ramadhan yang kedua. Ada mengatakan ianya berlaku pada malam ke-17 Ramadhan dan jumhur mengatakan ianya berlaku pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan.
Imam Syafie mengatakan Lailatul Qadr itu terkandung dalam 10 hari yang terakhir Ramadhan pada malam yang ganjil iaitu malam ke 21 dan malam ke 23.
Formula Ulamak Tafsir Yang Semasa,
Lailatul Qadr berlaku pada malam ke 27 Ramadhan. Hal ini berdasarkan kepada 2 perkara dalam Surah al-Qadr iaitu:
i. Allah mengulang-ulangkan perkataan لَيْلَةُ القَدْرِ ( ) pada 3 tempat dan perkataan ( لَيْلَةُ القَدْرِ ) terdapat 9 huruf. Sehubungan dengan itu 3 x 9 = 27.
ii. Surah al-Qadr mengandungi 30 patah perkataan. Perkataan هِيَ pada ayat yang terakhir surah ini berada di kedudukan yang ke 27.
Formula Imam Ghazali,
Malam Lailatul Qadr ditentukan berdasarkan bilakah hari awal Ramadhan itu jatuh.
Bil 1 Ramadhan Lailatul Qadr
- 1 Isnin Malam 21 Ramadhan
- 2 Sabtu Malam 23 Ramadhan
- 3 Khamis Malam 25 Ramadhan
- 4 Selasa/Jumaat Malam 27 Ramadhan
- 5 Ahad/Rabu Malam 29 Ramadhan
Justeru, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad menyatakan hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadr secara yakin adalah supaya kita sentiasa melakukan ibadah kepada Allah pada setiap malam dalam bulan Ramadhan khususnya pada 10 malam yang terakhir. Sabda Nabi S.A.W,
فَالتَـمِسُوهَا فِى العَشْرِ الأَوَاخِرِ فِى الوِتْرِ
Yang bermaksud, Maka kamu carilah ia (Lailatul Qadr) pada 10 malam terakhir (bulan Ramadhan) iaitu pada malam yang ganjil.
Sumber: Mufti Negeri Sembilan