Penyakit Hepatitis yang tidak diketahui asal-usulnya dan pertama kali menjangkiti kanak-kanak di United Kingdom (UK) kini dilapor dikesan di empat lagi negara Eropah dan Amerika Syarikat, dedah Agensi Kesihatan Kesatuan Eropah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Jumaat lalu berkata, pihaknya sedang memantau lebih 84 kes jangkitan Hepatitis teruk yang dilaporkan di Britain sejak 5 April lalu. Ketika itu, WHO menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari mendatang.
Setakat ini, kes Hepatitis misteri ini turut menjangkiti kanak-kanak di Denmark, Ireland, Belanda dan Sepanyol, jelas Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam satu kenyataan pada Selasa.
Manakala, sembilan kes juga direkodkan di Alabama, Amerika Syarikat.
“Buat masa ini, siasatan sedang berjalan di negara-negara yang melaporkan kes jangkitan. Bagaimanapun, punca sebenar penyakit jangkitan kepada kanak-kanak ini masih belum dapat dikenalpasti,” tambah ECDC.
Menurut laporan WHO dan ECDC, kebanyakan kanak-kanak yang terkena penyakit ini tidak mengalami demam. Namun ada beberapa kes di UK, jangkitan dilaporkan sangat teruk hingga menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti terpaksa dipindahkan ke bawah jagaan pakar hati dengan 6 daripadanya perlu menjalani pembedahan pemindahan hati.
Kajian awal mendapati Hepatitis misteri ini rata-rata menyerang kanak-kanak dibawah usia 10 tahun dengan simptom-simptom yang ditunjukkan seperti jaundis, cirit-birit, muntah dan sakit perut.
Menurut rekod, daripada senarai Hepatitis yang diketahui, A hingga E, tiada kes yang dilapor pernah menyerang kanak-kanak tersebut. Justeru, pihak berkuasa UK sedang menyiasat kemungkinan sama ada jangkitan virus ini ada kena mengena dengan virus biasa, atau virus lain seperti Covid-19 atau faktor persekitaran.
”Setakat ini, siasatan tidak menemui kaitan jangkitan dengan suntikan vaksin Covid-19. Manakala, maklumat yang dikumpul melalui soal siasat mengenai makanan dan minuman yang diambil pesakit juga tidak memberikan sebarang jawapan yang tepat,” tambah ECDC lagi.
Sumber: AFP