Siakap Keli

Anak Bin Atau Binti Abdullah? Ini Fatwa Kebangsaan Dan Negeri-Negeri Tentang Anak Tidak Sah Taraf

Pernah ke tidak anda melihat kenalan atau rakan-rakan kita ber bin atau binti kan Abdullah sedangkan nama ayahnya bukan Abdullah. Jika anda pernah melihat kes sedemikian, ini bermakna dia adalah anak yang tidak sah taraf yang tidak boleh ber bin atau bintikan nama ayah biologinya.

Pelbagai pandangan enteng daripada masyarakat apabila seseorang ber bin atau binti Abdullah kerana salah satu sebab anak tidak sah taraf adalah kerana anak luar nikah. Tapi sebagai seorang muslim dan manusia, kita tidak seharusnya menghakimi sejarah kehidupan seseorang mengikut hawa nafsu kita.

Hari ini SK ingin berkongsi artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan mengenai anak tidak sah taraf ini. Sama-sama kita baca dan ambil pengetahuan tentang perkara ini.

Fatwa-Fatwa Yang Berkaitan

  • Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Anak Tak Sah Taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (hal. 206-207)

 

  • Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada tarikh  2 Januari 2001 telah memutuskan dan mewartakan fatwa bahawa “Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan ini diakadnikahkan ialah anak sah taraf”.

Rujuk Buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2010 (hal. 8, 37 & 38)

  • Fatwa Kerajaan Negeri Selangor

Jawatankuasa Fatwa Selangor bertarikh 17 Januari 2005 telah memutuskan bahawa  sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah :

  1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang bertentangan dengan hukum syara’.
  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.
  3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[1]

 

  • Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, pada 12 Januari 2002, telah mengeluarkan fatwa berikut:

  1. Jika seorang bayi itu dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepadaa suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan anak tersebut.
  2. Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.
  3. Wajib bagi suami tersebut menafikan bahawa bayi berkenaan adalah anaknya.
  4. Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.[2]

 

  • Fatwa Negeri Sarawak

Ahli Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dalam penyelarasan Sighah Fatwa Anak Tak Sah Taraf yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-64 pada 27 Julai 2004 bersetuju menerima Sighah Pewartaan Anak Tak Sah Taraf adalah seperti berikut :

Anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu “bapanya” atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada “Abdullah”.

“Anak Tak Sah Taraf” ialah :

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
  2. Anak yang dilahirkan kurang dari 06 bulan 02 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh akad nikah.
  3. “Anak Tak Sah Taraf” tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Setelah meneliti pandangan dan cadangan yang dikemukakan, Mesyuarat bersetuju menerima keputusan yang telah diambil oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Peringkat Kebagsaan Kali Ke-64 pada 27 Julai 2004.[3]

  • Fatwa Negeri Perlis

Mengikut peruntukan subseksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, setelah diperkenankan oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan Kerajaan Negeri, dengan ini menyebabkan fatwa berikut disiarkan, iaitu: “Anak yang lahir kurang 6 bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.”[4]

 

Akta-Akta Berkaitan

  • Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984

Seksyen 110. Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa

“Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.[5]

 

  • Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) atau “Births and Deaths Registration Act 1957”

Section 13. Provisions as to father of illegitimate child

Notwithstanding anything in the foregoing provisions of this Act, in the case of an illegitimate child, no person shall as father of the child be required to give information concerning the birth of the child, and the Registrar shall not enter in the register the name of any person as father of the child except at the joint request of the mother and the person acknowledging himself to be the father of the child, and that person shall in that case sign the register together with the mother.”

 

Section 13A. Surname of child

13A. (1) The surname, if any, to be entered in respect of a legitimate child shall ordinarily be the surname, if any, of the father.

(2) The surname, if any, to be entered in respect of an illegitimate child may where the mother is the informant and volunteers the information, be the surname of the mother; provided that where the person acknowledging himself to be the father of the child in accordance with section

 

  • Akta Kesahtarafan 1961 (Akta 60) atau “Legitimacy Act 1961”

Section 4. Legitimation by subsequent marriage of parents

Subject to section 3, where the parents of an illegitimate person marry or have married one another, whether before or after the prescribed date, the marriage shall, if the father of the illegitimate person was or is at the date of the marriage domiciled in Malaysia, render that person, if living, legitimate from the prescribed date or from the date of the marriage, whichever is the later.

PERBAHASAN FIQH

Definisi Nasab

Daripada sudut bahasa, nasab berasal daripada kalimah نسب – ينسب, jika disebut ينسبه (yansibuhu) adalah menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أنسب (ansab).  Rujuk Lisan al-Arab (1/755)

Makna nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah ‘pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, pewalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.

Kebanyakan fuqaha’ tidak mentakrifkan nasab. Tetapi mereka banyak membincangkan permasalahan dan solusinya tanpa mendefinisikan nasab.

Imam Raghib al-Asfahani (w.502H) mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. Rujuk al-Mufradat fi Gharib al-Quran (hal. 801).

Ini selari dengan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).

(Surah al-Furqan: 54)

Syeikh Ahmad al-Maraghi (w.1371H) rahimahullah pula menghuraikan bahawa hubungan nasab dinisbahkan melalui para lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. Lihat Tafsir al-Maraghi (19/26).

Guru kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7247).

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan. Justeru, para ulama seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Syatibi telah meletakkannya sebagai salah satu tujuan syarak iaitu hifz al-nasab (penjagaan nasab), yang juga terkait dengan hifz al-nasal (penjagaan keturunan) dan hifz al-`arad (penjagaan maruah).

 

Adakah Dinasabkan Anak Zina Kepada Bapa Biologi Mereka?

Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab. Antara:

  • Perkahwinan
  • Persaksian
  • Pengakuan (ikrar)
  • Qiyafah (pengecaman melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)

Kaedah perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau mem’bin’/’binti’kan anak. Bahkan, kaedah ini disepakati oleh semua fuqaha’ tanpa terdapat khilaf. Kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah lain jika berlaku pertembungan.

Namun begitu, para ulama’ khilaf tentang perlaksanaan kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan ini kepada beberapa pendapat;

  • Majoriti ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Syafie, Hanbali menyatakan bahawa akad nikah mensabitkan nasab dengan syarat wujud kemungkinan berlaku persetubuhan dari aspek zaman dan tempat. Sekiranya tidak mempunyai kemungkinan tersebut, maka nasab tidak dapat ditetapkan. Contohnya:
    • . Faktor zaman: jika seseorang berkahwin kemudian bercerai setelah akad nikah, maka nasab anak tidak boleh ditetapkan kepada suami. Begitu juga jika anak itu lahir kurang enam bulan qamariyyah selepas akad nikah, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada ayah biologinya kerana sekurang-kurang hamil adalah enam bulan.
    • Faktor tempat: jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita melalui walinya tetapi tidak pernah bertemu dengan wanita itu. Kemudian selepas enam bulan, wanita berkenaan melahirkan anak. Anak berkenaan tetap tidak boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.
  • Mazhab Hanafi menyatakan bahawa ikatan perkahwinan semata-mata sudah cukup untuk menetapkan nasab.
  • Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpegang bahawa nasab boleh disabitkan dengan membuktikan persetubuhan hakiki sekalipun zina. Ini juga pendapat ulama’ salaf terkemuka seperti Ishak bin Rahuyah, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar, al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Ibrahim al-Nakhaie. Rujuk Zaad al-Ma`ad (5/381). Ini juga pandangan Ibn Muflih dalam al-Furu’ (9/255), Ibn al-Qasim dalam Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ (7/45).

Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (16/222), Syeikh Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu bahawa anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan mereka tidak saling mewarisi. Mazhab Syafie dan Maliki tidak mengharamkan pernikahan antara mereka berdua tetapi memakruhkannya. Manakala mazhab Abu Hanifah dan Hanbali mengharamkannya.

Imam Ibn Rusyd al-Maliki (w.595H) berkata: “Telah bersepakat jumhur bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada ayah-ayah mereka melainkan jika berlaku semasa zaman Jahiliyyah kerana terdapat riwayat daripada Umar al-Khattab berkenaan khilaf para sahabat tentang perkara ini. Manakala satu sebahagian pihak memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam.” Rujuk Bidayah al-Mujtahid (4/142).

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar.

Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.” Rujuk al-Mughni (6/345).

 

Haram Menisbahkan Nasab Kepada Bukan Sebenarnya

Sebenarnya syara’ telah menegah mana-mana bapa mengingkari nasab anak. Begitu juga mengharamkan wanita menisbahkan anak kepada bukan bapanya yang hakiki. Ini berasaskan hadith daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ، فَلَيْسَتْ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ، وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنَّتَهُ، وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَدَ وَلَدَهُ، وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ، وَفَضَحَهُ عَلَى رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang memasukkan kepada satu kaum sedangkan ia bukan daripada mereka,[16] maka tiadalah daripada Allah sesuatu pun. Dan Allah pasti tidak memasukkannya (perempuan tersebut) ke syurga. Mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya sedangkan dia mengetahui hakikatnya, maka Allah akan menghijabkannya daripada-Nya dan menghinanya di khalayak mereka yang terdahulu hingga akhirnya.

Riwayat Abu Daud (2263), al-Nasaie, (3481) dan Ibn Hibban (4108).

Begitu juga syara’ menegahkan anak-anak menisbahkan diri kepada selain bapanya seperti bukan bapanya yang sebenar atau hakiki. Hal ini berdasarkan dua hadith:

Pertama: Daripada Abi Bakrah dan Sa’d bin Abi Waqas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.

Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553).

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَن ادَّعى إلى غيرِ أبيهِ، أو انتَمَى إلى غيرِ مواليه، فعلَيه لعنَةُ اللهِ المتتابعةُ إلى يومِ القِيَامَةِ

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan maulanya, maka ke atasnya dilaknat oleh Allah secara berterusan hingga hari kiamat.”

Riwayat Abu Daud (5155)

Haram Menjadikan Anak Angkat Dibinkan Atau Dibintikan Kepadanya

Hal ini amat jelas bilamana syariat sendiri mengharamkan nizam tabanni dengan menjadikan anak angkat dibinkan atau dibintikan kepadanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah mengambil Zaid bin Harithah sebelum nubuwwah menjadikannya anak angkat. Ia digelar Zaid bin Muhammad sehingga turunnya nas Ilahi

مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ﴿٤﴾ ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٥﴾

Maksudnya: “(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula-maula” kamu.

(Surah al-Ahzab: 4-5)

Imam al-Qurtubi (w.656H) rahimahullah berkata: “Telah berijma’ ahli tafsir bahawa ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Para imam meriwayatkan bahawa Ibn Umar berkata, ‘Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini.” Lihat Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi (3/450).

Syeikh al-Maraghi berkata, “Hal itu dianggap lebih adil menurut hukum Allah dan lebih benar daripada kamu memanggilnya dengan nama orang yang mengambilnya sebagai anak angkat. Lihat Tafsir al-Maraghi (21/128)

Pada frasa (ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ) yang memberi maksud “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” Dr. Wahbah al-Zuhaili (w.1436H) berkata, “Ia lebih adil bahkan lebih berhak di sisi Allah. Maka keadilan yang diputuskan dan hak yang mewajibkan nisbah anak kepada bapanya yang hakiki dan bukan bapanya yang palsu. Ini kerana, Islam adalah agama yang sebenar dan adil. Unsur yang asing daripada keluarga samada lelaki atau wanita tidak bersamaan dan sesuai secara qat’ie pada akhlak dan agama. Ini sudah barang tentu akan menatijahkan kerosakan dan kemungkaran kepadanya. Hal ini tidaklah menyebabkan Islam menegah untuk mentarbiyah anak pungut, mendidik dan mengajarnya. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7248-7249).

 

Sebuah Kisah

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak selepas 6 bulan daripada perkahwinan. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas, “Adapun sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab Allah, nescaya aku menang. Ini kerana firman Allah SWT, (وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا) maksudnya “dan tempoh hamilnya serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan” (وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ) maksudnya “dan berpisah dari susu ibunya dalam tempoh 2 tahun. Justeru, hamil di sini hanya 6 bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. Lihat al-Bada’i` al-Sana’i` (3/211)

 

Sabitan Nasab Dengan Sebab Perkahwinan Yang Fasid

Perkahwinan yang rosak atau fasid dalam mengisbatkan nasab sama seperti perkahwinan yang sahih.[17] Tetapi nasab diihtiyatkan pada sabitannya untuk menghidupkan anak dan memeliharanya. Disyaratkan pada perkahwinan fasid ini tiga;

  • Lelaki yang mampu untuk menghamilkan isterinya iaitu baligh di sisi mazhab Maliki dan Syafie. Atau baligh atau remaja di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali.
  • Berlaku dukhul dengan perempuan tersebut pada mazhab Maliki dan jika tiada, tidak mungkin disabitkan nasab.
  • Hendaklah perempuan itu melahirkan anak selepas 6 bulan atau lebih daripada tarikh dukhul atau bersama di sisi mazhab Maliki.

 

Perbahasan Hadith

Kami kemukakan sebuah hadith yang menjadi perbincangan hangat di kalangan ulama’ berkenaan isu ini. Daripada Aisyah RAnha berkata:

كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ: أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي، فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ، فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ، فَقَالَ: ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ ، فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي، قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ» ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ: «احْتَجِبِي مِنْهُ» لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ، فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ

Maksudnya: Adalah ‘Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sungguh kepada saudaranya Sa’d bahawa anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan Zam’ah adalah anaknya. Justeru, ambillah dan peliharalah. Tatkala tahun pembukaan kota Mekah, Sa’d mengambilnya seraya berkata, “Ini anak saudaraku yang diminta kepadaku untuk memeliharanya.” Kemudian ‘Abd bin Zam’ah bangkit dan berkata, “Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku.” Kemudian kedua-duanya berlumba-lumba menuju kepada Nabi SAW. Maka kata Sa’d, ‘Ya Rasulullah, dia anak saudaraka yang diwasiatkan kepadaku untuk memeliharanya.’ Kemudian Abd bin Zam’ah mencelah, ‘Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku yang dilahirkan pada masa perkahwinan.’ Maka jawab Nabi SAW, ‘

هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya: “Dia bagi kamu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Ini kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina adalah keaiban.”

Kemudian sabda Baginda SAW kepada Saudah binti Zam’ah, ‘Hendaklah kamu berhijab daripadanya. Ini kerana Rasulullah SAW mendapati anak tersebut amat menyerupai ‘Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu Allah atau mati.

 

Fiqh Hadith

Hadis di atas adalah disepakati kesahihan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Kami kemukakan beberapa fiqh hadith daripada kitab Fath al-Bari (12/32-40) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani (w.852H) rahimahullah.

  • Perkataan (عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ) memberi maksud ‘ia telah mewasiatkan kepada saudaranya.’
  • Perkataan (وَلِيدَةِ) memberi maksud ‘hamba perempuan yang dikatakan beliau daripada Yaman’. Perkataan (وَلِيدَةِ) atas wazan fa’ilah adalah daripada wiladah iaitu kelahiran. Al-Jauhari berkata, ‘Iaitu anak perempuan kecil dan juga hamba perempuan. Ia dikatakan nama lain bagi Ummu Walad.
  • Perkataan (زَمْعَةَ) boleh dibaca dengan zama’ah iaitu zai dibaris atas atau zam’ah dengan baris mati. Imam al-Nawawi berpendapat dengan
  • Perkataan (عَاهِرِ) dengan makna penzina sedangkan makna (حَجَرُ) pula dengan dua makna iaitu kerugian dan pendapat yang kedua dengan makna direjam dengan batu. Tetapi pendapat ini lemah.
  • Perkataan (فِرَاشِ) pula dengan maksud lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan menjadi hamparan baginya. Dengan makna, anak yang lahir daripadanya menjadi anaknya.
  • Dalam mazhab Syafie dan Malik, seseorang hamba perempuan menjadi فِرَاشِ dengan sebab wati’ bukan semata-mata pemilikan.
  • Ketahuilah hadith ‘Abd bin Zam’ah ditanggung bahawa sabit hamba ayahnya sebagai firash kepada Zam’ah. Dengan sebab itu, Nabi SAW menisbahkan anak kepadanya. Sabitan ini samada dengan bukti atas ikrarnya atau pengetahuan Nabi SAW. Ini menjadi dalil kepada mazhab Syafie dan Maliki.
  • Hadith ini menunjukkan dalil bagi mazhab Syafie berkenaan menasabkan anak kerana Imam Syafie berpendapat, harus menasabkan waris dengan syarat ia berhak menerima pusaka. Begitu juga yang dinasabkan anak bagi si mati dan syarat yang tidak diketahui nasab selain daripadanya. Begitu juga hendaklah yang menasabkan dibenarkannya jika dia berakal lagi baligh. Ini syarat semuanya, wujud bagi anak ini sehingga Nabi SAW menasabkannya kepada Zam’ah.
  • Bagi yang berzina, maka jika ibu mengiktiraf bahawa ia daripada penzina maka hendaklah dinasabkan kepadanya. Kemudian Islam datang membatalkan. Dengan sebab itu, nasab anak dengan sebab perkahwinan syarie. Tatkala berhujah ‘Abd bin Zam’ah dan Sa’d bin Abi Waqqas, Rasulullah SAW memberikan hak kepada ‘Abd bin Zam’ah.
  • Hukum melalui penyerupaan yang nyata atau qafah hanya dikira jika tiada sebarang dalil yang kuat seperti perkahwinan kerana Nabi tidak menghukum dengan penyerupaan semata-mata dalam kisah Li’an.
  • Hadith ini juga menunjukkan bahawa hukum hakim atau keputusan mahkamah tidak melihat kepada yang batin.
  • Manakala dalam al-Minhaj Syarh Muslim (10/39), Imam al-Nawawi (w.676H) rahimahullah menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh Saudah untuk berhijab adalah sebagai langkah berhati-hati dan hukumnya sunat.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.