KUALA LUMPUR, 22 April – Pelantun lagu patriotik ‘Perajurit Tanah Air’, Jamaludin Alias, meninggalkan dunia hari ini.
Anaknya yang dikenali sebagai Fazli ketika mengesahkan perkara itu berkata Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun kira-kira 5 pagi tadi akibat sakit tua.
Jenazah pelantun lagu patriotik ‘Perajurit Tanah Air’, Jamaludin Alias selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara dekat sini.
Jenazah dikebumikan kira-kira 2.30 petang selepas disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun kira-kira 5 pagi tadi akibat sakit tua dan meninggalkan isteri, Umi Kalsom Othman serta tiga anak.
Seorang anak Allahyarham, Fukhairudin, 53, menyifatkan arwah bapanya seorang yang penyayang, periang dan senang diajak berbual selain sangat komited serta profesional dengan pekerjaan dilakukan.
“Arwah seorang yang merendah diri, seorang yang ikhlas dan berminat dalam apa yang dia lakukan,” katanya kepada Bernama selepas pengebumian.
Selain terkenal dengan lagu ‘Perajurit Tanah Air’ yang menyuntik semangat rakyat Malaysia, Jamaludin juga menyanyikan lagu ‘Marilah Mengundi’ dan ‘Undilah Kita Semua’ semasa berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Allahyarham yang juga bekas pengulas sukan terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah bertugas ketika Sukan SEA Jakarta 1979 hingga Manila 1991, Sukan Asia Jakarta 1962 dan New Delhi 1982 serta Sukan Olimpik Barcelona 1992.
— BERNAMA