Kuala Lumpur – Sedang jalani kuarantin susulan Covid-19 sebab utama Siti Bainun Abd Razali tidak ditahan reman. Perkara itu disahkan sendiri oleh saksi keenam Asisten Superitendan Nazatul Madiyah Manaf, lapor Awani.
“Untuk makluman Yang Arif, pada hari tangkapan tersebut, kita dapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa (Siti) Bainun masih dalam kuarantin COVID-19, jadi kita tidak reman dia dan bagi jamin, sebab kita tak nak benda itu berjangkit-jangkit,” katanya di sini pada Khamis.
Nazatul yang dipertanggungjawab untuk menahan tertuduh merupakan pegawai penyiasat kanan, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
BACA: Rakaman Video Siti Bainun Layan Saksi Didakwa Seperti ‘Hamba Abdi’ Ditayang Di Mahkamah
Ramai yang mempertikaikan apabila Siti Bainun tidak ditahan reman selepas didakwa melakukan pengabaian dan menganiaya remaja perempuan berkenaan dan akhirnya segalanya terjawab selepas keterangan saksi keenam ini.
Siti Bainun yang berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Awani