Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengesyorkan penggunaan pil antiviral Covid-19, Paxlovid keluaran Pfizer untuk pesakit bergejala ringan.
Memetik laporan daripada Bernama TV, pengesyoran Paxloid itu dibuat berdasarkan hasil dua ujian melibatkan hampir 3,100 pesakit yang menunjukkan pil antiviral Paxlovid mengurangkan risiko kemasukan ke hospital, 85 peratus.
Barisan pakar WHO menerusi Jurnal Perubatan BMJ menyebut, Paxlovid adalah pilihan utama bagi golongan yang tidak divaksinasi, warga emas atau golongan memiliki sistem imun yang lemah.
Bagi golongan sama, WHO membuat syor bersyarat penggunaan ubat antiviral, Remdesivir buatan firma biotek, Gilead yang sebelum ini ditolak.
Paxlovid juga didapati lebih berkesan daripada pil Molnupiravir keluaran Merck-N-Co serta rawatan antibodi monoklonal yang dibangunkan Regeneron dan Eli Lilly.
Pengambilan ubat berkenaan dicadangkan kepada individu berumur 18 tahun ke atas, tetapi tidak kepada wanita hamil atau ibu yang menyusu badan.
Selain itu, ia juga tidak terpakai kepada pesakit mempunyai risiko komplikasi yang rendah kerana faedahnya adalah minimum.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengesyorkan penggunaan pil antiviral COVID-19, Paxlovid keluaran Pfizer untuk pesakit bergejala ringan. pic.twitter.com/wGFkcff9mi
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) April 22, 2022
Sumber: BERNAMA