Siakap Keli

Taliban Dilapor Sekat TikTok, Dakwa Kandungan Aplikasi ‘Tak Bermoral’ Buat Generasi Muda ‘Menyimpang’

Kerajaan Afghanistan yang ditadbir oleh Taliban dilapor telah menyekat aplikasi popular Tiktok dengan mendakwa kandungan aplikasi berkenaan tidak bermoral dan membuat generasi mudanya ‘menyimpang’.

Turut dikenakan sekatan adalah aplikasi permainan popular, Player Unknown Battleground (PUBG).

”Kami menerima banyak aduan mengenai aplikasi Tiktok dan PUBG yang didakwa menyebabkan remaja membuang masa dengan sia-sia. Kementerian Informasi dan Teknologi telah diarah untuk memastikan kedua-dua aplikasi tersebut dibuang dari internet dan memastikannya ia tidak dapat diakses di Afghanistan,” kata Timbalan Jurucakap Taliban, Inamullah Samangani di Twitter.

Beliau turut menambah bahawa kandungan yang ditawarkan dalam aplikasi berkenaan tidak selari dengan ketetapan dalam perundangan Islam. Larangan terhadap kandungan tidak bermoral juga katanya akan dipanjangkan ke semua jaringan televisyen di sana.

Sejak kembali berkuasa, kerajaan itu dilapor telah menguatkuasakan beberapa peraturan ketat yang melibatkan beberapa perkara.

Antaranya, wanita tidak dibenarkan menggunakan kemudahan mandi awam. Selain itu, Taliban juga mengarahkan semua kedai-kedai memotong kepala patung mannequin yang digunakan sebagai model pakaian. Arahan itu dikeluarkan kerana penggunaan patung menyerupai manusia adalah dilarang oleh agama.

Taliban juga turut menguatkuasakan arahan iaitu mana-mana wanita yang mahu melakukan perjalanan melebihi 72 kilometer, mereka perlu diiringi waris lelaki. Malah, mana-mana penyedia perkhidmatan awam juga dibenarkan untuk tidak menerima penumpang wanita yang tidak menutup aurat.

Sumber: Mothership SG

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang