Siakap Keli
wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati

Kemalangan Maut Di Melaka Meningkat 50 Peratus Tiga Bulan Pertama Tahun Ini

MELAKA, 24 April (Bernama) — Sebanyak 48 kes kemalangan maut direkodkan di Melaka dari awal Januari hingga Mac lepas, iaitu meningkat 50 peratus berbanding 32 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Supt Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata jumlah itu dilihat membimbangkan, membuatkan pihaknya mempergiatkan kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya kepada pengguna menerusi Op Selamat 18 sempena Aidilfitri ini.

“Menerusi kempen itu, kami akan memberi nasihat dan panduan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah semasa pulang berhari raya bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya selepas menghadiri Program Jelajah Op Selamat 18 dan Program “Go To Safety Point” (GTSP) di Semabok di sini, hari ini.

Program kerjasama JSPT dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi Zon Selatan itu akan singgah di stesen terpilih bermula di Johor kemudian ke Melaka dan berakhir di Negeri Sembilan bagi menyantuni masyarakat serta menasihati pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Amran berkata sepanjang Aidilfitri ini, polis Melaka akan menempatkan pegawai dan anggotanya di setiap daerah yang ditugaskan secara bergilir bagi melaksanakan penyuraian trafik jika berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan.

“Selain itu, kami juga mempunyai empat pasukan ‘jammed squad’ dianggotai satu pegawai dan empat anggota yang akan digerakkan ke sesuatu lokasi sekiranya menerima sebarang aduan yang disalurkan dalam pelbagai media.

“Kami tiada kawasan tumpuan atau panas, namun pihak JSPT akan menjalankan pemantauan di jalan raya utama termasuk sepanjang jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) yang dilihat kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Amran berkata dijangkakan lebih 100,000 kenderaan memasuki Melaka sempena cuti Aidilfitri dan setakat ini pihaknya tiada rancangan melakukan sekatan jalan raya di pintu masuk kecuali sekiranya ia melibatkan kes jenayah.

— BERNAMA

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.