Singapura – Seorang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 minggu dan sebatan selepas didapati bersalah merakam video anak perempuannya sendiri yang berusia 13 tahun sedang membuka pakaian di dalam bilik, lapor CNA.
Memetik laporan The Mothership, lelaki berusia 43 tahun itu telah mengaku memasang kamera pengintip yang menyerupai pengecas USB untuk merakam anak perempuannya menukar pakaian sebanyak dua kali pada tahun 2020.
Dalam perbicaraan pada 20 April lalu, mahkamah mengatakan bahawa lelaki itu memutuskan untuk merakam anak perempuannya secara rahsia di dalam bilik tidurnya pada 6 Julai 2020.
Difahamkan, dia telah membeli kamera itu sebelum Julai 2019.
Kamera tersebut pula dikatakan boleh menghantar video secara langsung ke telefon bimbit dan boleh disimpan.
Ketika anak perempuannya berada di luar bilik tidurnya, lelaki itu menggunakan peluang itu untuk meletakkan kamera pengintip di sudut bilik.
Dia juga berhati-hati untuk melaraskan sudut kamera dan memastikan agar video itu stabil sebelum meninggalkan bilik.
Kemudian, selepas 10 minit anaknya masuk ke dalam bilik untuk membuka pakaian dan mandi.
Selepas remaja tersebut pergi ke sekolah, lelaki itu telah pergi ke biliknya untuk mengambil kamera pengintip berkenaan dan memuat naik rakaman itu ke komputer riba miliknya.
Keesokan harinya, dia mengulangi perbuatan itu sekali lagi dan ia tidak disedari oleh mangsa.
Menurut laporan, video itu setiap satu berdurasi lebih daripada 20 minit.
Perbuatan lelaki itu akhirnya terbongkar selepas isterinya meminjam komputer ribanya pada 2 Ogos 2020 dan menemui video anak perempuan mereka yang tidak berpakaian.
Isterinya telah membuat laporan polis pada 21 Ogos 2020 dan berkata dia menemui kira-kira 155 daripada video yang diambil antara Julai 2019 dan 8 Julai 2020.
Setelah ‘kantoi’, lelaki itu pada awalnya memberitahu penyiasat bahawa kamera pengintip itu dipasang untuk memantau anak perempuannya semasa dia belajar di bilik tidurnya.
Bagaimanapun, tiada video yang ditemui menunjukkan bahawa anaknya sedang belajar.
Lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan voyeurisme (mengintip untuk mendapat kepuasan seksual). Satu lagi pertuduhan telah diambil kira.
Sumber: Mothership